KN sedia ambil alih feri – KM

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF & AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) digesa supaya mempertingkatkan mutu perkhidmatan feri terlebih dahulu sebelum mencadangkan sebarang kenaikan tambangnya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pengumuman cadangan kenaikan tambang adalah tidak sesuai dan bertepatan memandangkan perkhidmatan feri tidak dipertingkatkan sejak dahulu.

“Saya ingin memohon kepada Kerajaan Pusat supaya tidak menaikkan tambang feri kerana ia bukan sahaja membebankan  rakyat, tetapi juga mutu perkhidmatannya masih sama, tiada perubahan sejak dahulu dan tidak pernah diperbaiki,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjurannya di sini baru-baru ini.

Kira-kira 8,000 pengunjung menghadiri majlis berkaitan yang turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

Kehadiran Tuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri menyerikan lagi majlis berkaitan.

Mengulas lanjut, pada sidang media berasingan, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia mengambil alih pengurusan operasi feri ekoran kerugian RM23 juta pada tahun 2013 dan memaksa tambang feri dinaikkan sehingga 75 peratus.

“Mereka tidak boleh meletakkan beban tersebut kepada pengguna.

“Kenaikan ini membebankan. Jika tidak mampu uruskan, serahkan pada kita (Kerajaan Negeri). Kita (Kerajaan Negeri) boleh buktikan operasi akan berjalan lebih lancar dengan memberikan perkhidmatan terbaik.

“Malah, kita (Kerajaan Negeri) bersedia membuat pelaburan baru bagi melindungi ikon utama George Town ini,” tegas beliau.

Bagaimanapun, Guan Eng menekankan bahawa, pihak SPPP diminta melangsaikan hutang terlebih dahulu sekiranya bersetuju dengan saranan dikemukakan.

Terdahulu, SPPP bercadang membuat semakan tambang feri mengikut jenis kenderaan iaitu motosikal dari RM2.00 dinaikkan kepada RM3.50, kereta (RM7.70 kepada RM9.00), pejalan kaki (RM1.20 kepada RM2.00) dan basikal (RM1.40 kepada RM1.50).

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);