KN sentiasa alu-alukan permohonan Pusat bina PR1MA di P. Pinang – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SHUM JIAN-WEI

PANTAI JEREJAK – Sungguhpun dilayan dingin oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri hari ini berharap amalan Perkongsian Awam-Swasta mampu menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Sidang Kemuncak Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang 2016 (PIP) di sini baru-baru ini.

“Saya masih ingat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa 9,999 unit rumah mampu milik akan dibina di kawasan Air Itam dan Air Putih (iaitu) kawasan saya menjelang PRU13 (Pilihan Raya Umum Ke-13), namun jelas terbukti ia janji kosong.

“Inilah sebabnya, mengapa begitu penting sidang kemuncak (PIP) seperti ini, kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mood Perkongsian Awam-Swasta dengan melibatkan sektor (pemaju perumahan) swasta, untuk mendengar (maklum balas) daripada sektor swasta tentang bagaimana kita (Kerajaan Negeri) boleh meningkatkan sistem penyampaian perumahan mampu milik, khususnya untuk rakyat Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada penganjuran berkaitan.

ADUN Datuk Keramat merangkap Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo turut berucap pada sidang kemuncak tahunan kedua itu.

Guan Eng memberitahu, rakyat Malaysia di negeri ini sepatutnya tidak dianaktirikan oleh pentadbiran Najib, memandangkan Pulau Pinang merupakan pembayar cukai ketiga tertinggi di negara ini pada tahun 2014.

“Kami telah membayar sejumlah RM6.3 bilion, hanya lebih kurang 2 peratus daripada jumlah itu telah disalurkan kembali ke Pulau Pinang.

“Dalam apa jua keadaan malang, tidak ada satu sen pun, untuk perumahan awam mampu milik,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Selain itu, tambah beliau, Kerajaan Negeri sehingga kini masih menuntut Kerajaan Persekutuan menyegerakan proses kelulusan semua permohonan Permit Iklan dan Lesen Pemaju (APDL), susulan dibangkitkan oleh para pemaju dalam sidang kemuncak kali yang pertama pada tahun lalu.

“Ini adalah satu contoh bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang sensitif terhadap masalah yang dihadapi oleh pemaju.

“Kerajaan Persekutuan seakan mensabotaj ekonomi, bukan sahaja pemaju dari Pulau Pinang, tetapi, semua penduduk Pulau Pinang secara keseluruhannya, industri perumahan…melibatkan kira-kira 140 peserta industri,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap rancangan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) bernilai RM27 bilion demi menangani masalah kesesakan trafik sehingga 2050, sekaligus mampu menjana pertumbuhan ekonomi serta memajukan sektor hartanah perumahan di negeri ini.

Sebelum itu, Jagdeep memberitahu, terdapat 12 projek perumahan yang terdiri oleh 22,512 unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik sedang dan akan dibina di kelimalima daerah di negeri ini, membabitkan perkongsian sektor awam dan swasta.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri senantiasa mengalu-alukan dua permohonan Kerajaan Pusat untuk membina rumah mampu milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Pulau Pinang baru-baru ini.

Jelas Jagdeep, dua permohonan itu sebenarnya adalah susulan pada mesyuarat beliau dengan pegawai Perbadanan PRIMA Malaysia pada bulan Ogos tahun lalu.

“Kami menerima permohonan pada Disember tahun lalu bagi dua projek perumahan mampu milik di bawah PR1MA di Batu Ferringhi dan Bukit Gelugor, dengan sejumlah 2,644 unit,” ujar beliau.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap ADUN Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) dan Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC).

Sidang Kemuncak Hartanah Pulau Pinang 2016 yang melibatkan Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) merupakan antara usahasama Kerajaan Negeri untuk menangani cabaran semasa berkaitan pembangunan hartanah serta kepentingannya untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);