KN tidak lengah salur bantuan HAPPY! – Exco

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: ALISSALA THIAN

SUNGAI PINANG – Pengerusi Tabung Perumahan 1Malaysia (TP1M) bagi Blok 9 Halaman Damai Sungai Pinang, Abdul Razak Mohd Sultan menyatakan mana-mana badan kerajaan supaya jangan mempolitikkan isu kebajikan serta bantuan perumahan yang amat diperlukan rakyat.

Beliau berkata demikian susulan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan yang begitu cepat meluluskan peruntukan Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang (HAPPY!) berjumlah RM324,000 untuk projek-projek menyelenggara blok flat berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang cepat bertindak meluluskan HAPPY!, iaitu sejurus permohonan TP1M (kelolaan Kerajaan Pusat) yang dipohon sejak tahun 2012 diluluskan (baru-baru ini).

“Kelulusan tersebut bakal membolehkan tangki air, lif, cat dan sebagainya diselenggara,’’ katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Cek HAPPY! oleh Exco Perancangan Bandar dan Desa & Perumahan, Jagdeep Singh Deo di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Menurut Jagdeep Singh, Kerajaan Negeri sememangnya tidak akan berlengah dalam menyalurkan bantuan HAPPY! memandangkan ianya adalah satu kepentingan kepada rakyat jelata.

“Namun, agak malang sedikit bagi negeri Pulau Pinang kerana daripada 119 permohonan untuk TP1M sejak tahun 2012, hanya 14 diluluskan dengan 11 daripada jumlah kelulusan tersebut adalah untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang (Barisan Nasional) sahaja dan baki tiga lagi barulah meliputi DUN Pakatan Rakyat (PR).

“Ini jelas sekali kita dapat lihat isu ini sedikit dipolitikkan Kerajaan Pusat dalam menjaga kepentingan rakyat yang tinggal di perumahan kos sederhana rendah dan rendah,” ujarnya yang turut senada bahawa isu perumahan tidak wajar dipolitikkan.

Tambah Jagdeep, rakyat Pulau Pinang seharusnya berasa bertuah kerana hanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang sahaja yang melaksanakan program bantuan perumahan seperti HAPPY! bagi menjamin keselesaan di tempat tinggal para penduduk.

HAPPY! Di bawah peruntukan Kerajaan Negeri akan menyuntik dana 10 atau 30 peratus kepada pihak pengurusan rumah kos rendah dan sederhana rendah bagi menampung peruntukan 70 peratus TP1M di bawah kelolaan Kerajaan Pusat.