KN tunai janji, rakyat dapat manfaat – KM

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

JURU – Kerajaan Negeri tidak akan menindas rakyat untuk menambah sumber kewangan negeri sebagaimana yang berlaku di sesetengah kawasan.

Kenyataan tersebut ditegaskan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Pecah Tanah Pasar Awam Perkampungan Juru di sini baru-baru ini.

“Di Pulau Pinang, kita (Kerajaan Negeri) sentiasa peka dengan masalah dihadapi rakyat dihimpit kos kehidupan yang semakin meningkat kini.

“Kerajaan Negeri tetap meneruskan skim bantuan emas di samping mengekalkan tarif cukai pintu dan tanah, tarif air dan tarif lesen perniagaan untuk kesejahteraan rakyat di sini,” kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai usaha naiktaraf Pasar Awam Perkampungan Juru dari struktur sementara sebelum ini, Guan Eng menyatakan bahawa komitmen tersebut membuktikan bahawa Kerajaan Negeri menunaikan janjinya.

“Projek ini adalah bukti Kerajaan Negeri tidak hanya bercakap kosong tanpa mengotakan janjinya walaupun selepas menang pilihanraya.

“Kekangan kewangan bukanlah satu alasan untuk kita (Kerajaan Negeri) melupakan janji kepada rakyat.

“Apabila kita (Kerajaan Negeri) menunaikan janji, yang akan mendapat manfaatnya adalah rakyat sendiri,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan  Tebatan Banjir), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan), P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan), Maimunah Mohd.
Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP), Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran MPSP) dan Tan Cheong Eng (Ahli Majlis bagi MPSP).

Dalam pada itu, menurut Maimunah, konsep pasar awam yang bakal siap sepenuhnya pada 30 April ini mempunyai  elemen bangunan hijau yang menepati slogan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Ia akan dilengkapi dengan greasetrap yang membolehkan sisa-sisa buangan dan minyak diproses dengan baik dan mengelakkan ia (sisa)  mengalir ke dalam parit.

“Oleh itu, peniaga diingatkan supaya tidak membuat sendiri sinki tambahan, sebaliknya memohon kelulusan daripada MPSP supaya konsep hijau tidak diabaikan,” kata Maimunah.

Tambah Maimunah, MPSP telah memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk menaiktaraf pasar awam dan kompleks makanan dan RM1.8 juta untuk tujuan penyelenggaraan pada tahun ini.