Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pembersihan Proses Perolehan Perumahan (SPEC) memandang serius akan keperluan rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) di Pulau Pinang, kata Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo di sini baru-baru ini.
“Oleh demikian, kita (SPEC) memperkenalkan suatu polisi baharu di mana pihak pemaju projek perumahan perlu menyediakan lima peratus unit rumah yang nilainya tidak melebihi RM200,000, 15 peratus unit tidak melebihi RM300,000 dan lima peratus unit tidak melebihi RM400,000 daripada keseluruhan projek yang telah diluluskan,” jelas Jagdeep.
Selain itu, tambahnya, sejumlah 11,910 unit rumah KR dan 7,776 unit rumah KSR telah diluluskan pembinaannya kepada pihak swasta.
Malah melalui usahasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Kerajaan Negeri telah merancang lapan projek perumahan mampu milik yang menawarkan 20,000 unit rumah mampu milik dengan nilai antara RM72,500 ke RM400,000 seunit.
“SPEC juga turut bermesyuarat saban minggu untuk memantau dan memilih pemilih yang benar-benar layak memiliki rumah sama ada KR mahupun KSR.
“Tujuannya mudah, untuk mengurangkan senarai menunggu dalam senarai permohonan yang sehingga kini (mengikut rekod) terdapat pemohon yang masih kekal namanya dari tahun 1979.
“Kita juga akan menjejaki mereka yang memalsukan data permohonan dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati bersalah kerana lebih ramai lagi pemohon yang layak terutamanya mereka yang kurang upaya dan ibu-ibu tunggal,” jelasnya dalam sidang media di sini baru-baru ini.
Tambahnya, SPEC juga memandang serius Laporan Audit 2010 yang menyatakan terdapat beberapa kes pemohon yang tidak layak memohon
(kerana gaji melebihi syarat) tetapi diberi rumah.
SPEC ditubuhkan untuk memantau dan melihat keseluruhan proses perolehan rumah KR bermula dari peringkat permohonan sehinggalah ke peringkat pemilihan pemohon. Ia diwakili oleh lapan orang perwakilan termasuklah pegawai-pegawai dari bahagian perumahan.
Berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa SPEC:
• Ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun,
• Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik,
• Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin,
• Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang & Alam Sekitar, Phee Boon Poh,
• Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim,
• Exco Pertanian & Industri Asas Tani Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, dan
• Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen