BERTAM – Atlet snuker, Lim Kok Leong dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Pulau Pinang Tahun 2019-2022 manakala anugerah olahragawati dirangkul oleh atlet Karate-Kata, Khaw Yee Voon.
Anugerah berprestij berkaitan disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sambil diiringi Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow bersama-sama Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.
Kemenangan tersebut membolehkan kedua-dua atlet terbabit membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan wang tunai bernilai RM4,000.
Kon Yeow pada majlis tersebut berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) sentiasa komited menganjurkan program-program sukan berpestij dalam negeri atau negara dengan mempelbagaikan kejohanan serta mendukung segala usaha-usaha individu, persatuan sukan atau agensi sukan dalam melahirkan lebih ramai atlet tempatan bertaraf antarabangsa.
“Selaras dengan komitmen ini, Kerajaan Negeri melalui MSNPP juga akan terus melipatgandakan usaha serta memperkasakan lagi program-program pembangunan sukan negeri agar ia berada atas landasan yang tepat, sekaligus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
“Kerajaan Negeri telah mempelbagaikan kemudahan sukan dan rekreasi yang mana sebanyak 92 projek dilaksanakan sama ada pembinaan fasiliti sukan baharu atau menaik taraf fasiliti sukan sedia ada seperti gelanggang futsal, bola keranjang, sepak takraw, trek jogging dan berbasikal, ini termasuk pembinaan taman rekreasi seperti WoodHaven Park, Bukit Mertajam dan juga Taman Areca, Sungai Pinang.
“Serentak itu, program-program sukan turut dipergiatkan di bawah Program ‘Sports for All’ dengan pelaksanaan 77 klinik sukan melibatkan 35 jenis sukan dan memberi manfaat kepada 19,228 peserta.
“Dalam pada itu juga, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Akademi e-Sports pertama di negeri ini pada tahun 2022 dan kini dalam proses mewujudkan Galeri Sukan Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2019-2022 di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A.Rajendran; Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; dif-dif kehormat dan barisan atlet.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berharap menerusi inisiatif serta pendekatan khas berkaitan, ia bakal memantapkan lagi pencapaian atlet-atlet kita di arena sukan sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Antara anugerah lain yang disampaikan termasuk Olahragawan dan Olahragawati Para yang ditabalkan kepada Zy Lee Ker bagi acara renang dan Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais (berbasikal). Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM4,000 berserta trofi.
Bagi Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik, gelaran tersebut berjaya diraih oleh pasukan snuker iaitu Lim Kok Leong dan Moh Keen Hoo manakala Anugerah Pasukan Wanita Terbaik dimenangi oleh pasukan bola tampar pantai membabitkan atlet Farwizah Ahmad Nizar dan Nur Auni Maisarah Shamsulrizal. Kedua-dua pasukan tersebut masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi.
Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan dimenangi atlet dari sukan Karate-Kata iaitu Megat Zaqrul Haiqal Megat Zairudin dan Lim Hui Ling yang mana membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan trofi.
Anugerah Jurulatih Terbaik menjadi milik Ku Jin Keat dalam sukan Karate-Kata dengan hadiah wang tunai bernilai RM4,000 berserta trofi. Dato’ Seri Farizan Darus pula dianugerahkan Anugerah Tokoh Pemimpin Sukan Pulau Pinang dengan hadiah wang tunai bernilai RM2,000.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS