Kok Wah gembira jantung anaknya masih berdenyut dalam tubuh penerima

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Seorang ayah, Mark Kok Wah, 46, kelihatan begitu gembira apabila jantung yang diderma mendiang anak perempuannya kira-kira dua tahun lepas, masih berdenyut baik dalam tubuh penerima organ, Serena Lee Shu Lynn, 37.

Kok Wah diiringi isteri, Ariess Tan, 43, dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, inisiatifnya sekeluarga diharapkan dapat mengubah cara berfikir rakyat Malaysia mengenai peri penting menderma organ kepada
mereka yang memerlukan.

“Sebab kenapa saya menghubungi YB Phee (Boon Poh, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) untuk mengadakan sidang media di sini bukanlah untuk mencari publisiti, tapi sebenarnya kami ingin mengubah cara berfikir masyarakat mengenai amalan menderma organ.

“Seperti anak saya, Carmen Mark, 18, bukanlah untuk mencari publisiti atau populariti, tapi untuk meninggalkan satu pusaka untuk mereka yang masih hidup supaya ada harapan untuk terus menikmati hidup,” jelasnya pada pertemuan khas yang diatur di Pejabat Ketua Menteri di sini baru-baru ini.

Carmen Mark merupakan anak tunggal kedua-dua pasangan berkenaaan, bermastautin di Taman Hutching.

Ketika berusia 18 tahun, mendiang melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Politeknik Nanyang, Singapura, dengan biayaan biasiswa penuh.

Tiga bulan di perantauan, Carmen Mark diisytiharkan mati otak selepas dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng selama 25 hari.

Kok Wah diberitahu doktor bahawa anaknya memang tidak dapat diselamatkan lagi.

Lalu, Kok Wah menyatakan hasrat untuk menderma kesemua lapan organ, termasuk jantung kepada Shu Lynn, seorang warganegara Singapura.

“Pada ketika itu, saya membuat keputusan untuk mendermakan organorgannya. Saya tidak menyesali keputusan yang saya buat pada hari itu, iaitu pada Julai 2015.

“Hari ini, Carmen hidup dalam lapan orang yang berbeza, dan saya begitu gembira apabila mendengar jantung anak saya masih berdenyut dalam tubuh Shu Lynn,” jelasnya sambil melahirkan rasa yakin bahawa pengorbanan anaknya itu dirahmati Tuhan.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa pengorbanan Kok Wah sekeluarga adalah teladan terbaik untuk maksud kemanusiaan, yang merentasi kepercayaan, warna kulit, darah dan garis sempadan negara, Malaysia – Singapura.

“Ia memberi makna sebenar kepada kehidupan, derma (jantung) ini terlalu besar pengertiannya.

“Dorongan menderma (organ) ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh seorang ibu atau bapa.

“Saya fikir kita perlu merakamkan penghargaan, ucapan tahniah bukan sahaja pada diri (mendiang) Carmen, juga kepada ibu bapa yang mempunyai anak perempuan yang hebat ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Manakala, Shu Lynn sejak sebelum sidang media lagi kelihatan dalam perasaan yang sebak dan tak lepas-lepas memeluk ibu kepada Carmen.

Menurut Shu Lynn, beliau terbaca di dinding Facebook mengenai hasrat Kok Wah untuk bermusafir sejauh 14,000 batu ke Singapura, semata-mata untuk mendengar degupan jantung mendiang anaknya itu.

Pada 4 Ogos, barulah Shu Lynn menghantar mesej kesediaan untuk saling bertemu, melalui mesej peribadi Facebook kepada Kok Wah.

“Selepas pemindahan jantung ini selamat dilaksanakan, saya berasa seperti satu kehidupan yang baharu, begitu bertuah.

“Saya sendiri tidak dapat memikirkan betapa dalamnya kasih sayang kedua-dua ibu bapa Carmen ini, cuma saya boleh merakamkan ucapan terima kasih tak terhingga atas sumbangan ikhlas mereka,” jelas Shu Lynn.