SUNGAI ACHEH – Selaras dengan Agenda Hijau 2030, IJM Construction Sdn. Bhd. (IJM) sekali lagi mengadakan aktiviti penanaman 500 pokok bakau minyak (Rhizophora apiculate) di tebing Sungai Chenaam di sini pada 10 Ogos 2024.
Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Pulau Pinang, YM Tengku Mohd. Ridzuan Tengku Ibrahim; Ketua Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Haslina Jultin; dan Penolong Kanan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Pulau Pinang, Ooi Chun Boon antara pemimpin negeri yang turut serta dalam program ‘pelaburan komuniti’ tersebut.
Kenyataan bertulis penganjur dipetik berkata program ‘Community Investment’ merupakan sebahagian usaha berterusan daripada pihak IJM untuk memberikan impak positif yang berpanjangan dan berdaya tahan kepada komuniti setempat dan alam sekitar.
“Elemen ‘built environment’ merupakan salah satu matlamat kami dalam program ‘Community Investment’… ‘built environment’ ataupun persekitaran yang dibina merujuk kepada segala struktur dan infrastruktur yang dicipta oleh manusia di sekeliling kita,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.
Terdahulu, IJM sebelum ini melakukan beberapa program ‘pelaburan komuniti’ antaranya acara gotong-royong di ‘Hiking Trail Bukit Jambul pada bulan Januari 2024.
Selain itu, IJM turut menyokong usaha Kerajaan Negeri menjayakan Program Tanam Sejuta Pokok di Pulau Pinang pada bulan April lepas.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB