GEORGE TOWN – Potensi kolaborasi dan keterlibatan dalam program-program pada peringkat negeri merupakan antara perkara yang dibincangkan pada sesi kunjungan hormat delegasi Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia Negeri Pulau Pinang ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, pagi ini.
Delegasi JaPen Malaysia Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Pengarah, Sabri Said hadir ke Pejabat Ketua Menteri bersama-sama Penolong Pengarah (Cawangan Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, GSPI), Ridhwan Nazmi Roslan; Penolong Pengarah (Cawangan Khidmat Pengurusan dan Kewangan, KPK), Abdullah Mahyuddin dan Penolong Pegawai Penerangan (Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, PKPM), Nurul Ain Kamil.
Pada pertemuan itu, selain penerangan mengenai gerak kerja JaPen Malaysia Negeri Pulau Pinang dalam program-program setempat melibatkan komuniti lokal, turut dibangkitkan adalah berhubung liputan dan pelaporan di lapangan.
Menurut Sabri, sepanjang bulan Ramadan ini, pihaknya (JaPen Malaysia Negeri Pulau Pinang) giat melaksanakan program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) di 20 lokasi di seluruh negeri.
“Lain-lain program yang dirancang seperti ‘Kita Madani’; program sempena Hari Kebangsaan; hebahan mengenai ‘Malaysia Madani’; isu berkaitan kesihatan seperti denggi; hebahan mengenai ‘Menu Rahmah’ serta program ad-hoc turut menjadi sebahagian daripada gerak kerja kami untuk tahun ini.
“(Dan) kami juga sedia bekerjasama serta berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program berkaitan,” jelasnya lanjut.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Komunikasi berharap kolaborasi dapat dilaksanakan dalam memberi penerangan kepada kumpulan sasar pada peringkat komuniti.
“Di Pulau Pinang, mungkin kolaborasi dapat dijalinkan dari segi hebahan mengenai pembangunan ekonomi serta industri; perkhidmatan yang ada di negeri ini; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan serta aspek perumahan.
“Manakala dari segi program, mungkin boleh diadakan kerjasama dengan agensi-agensi terlibat pada peringkat komuniti atau melibatkan program outreach kepada belia.
“Hal ini kerana, komunikasi dan penerangan bersifat dinamik, maka perlu ada pendekatan berbeza mengikut kumpulan sasar khasnya pada peringkat komuniti,” ulasnya yang turut berharap pertemuan berkaitan dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara JaPen Malaysia Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD