SEBERANG JAYA – Kolam Renang D Swim Academy (DSA) Seberang Jaya kembali beroperasi mulai 14 Januari lalu selepas lebih empat tahun ditutup kepada umum untuk kerja-kerja penaiktarafan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek penaiktarafan melalui usaha sama pihak kerajaan dan swasta tersebut telah memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat setempat khususnya di kawasan Seberang Jaya.
Menurut beliau, penaiktarafan kolam renang yang kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan baharu itu turut membantu memantapkan lagi pembangunan sukan serta atlet renang dalam jangka masa panjang.
“Kolam renang ini akan memberikan peluang kepada masyarakat setempat untuk aktiviti riadah bagi semua kategori umur.
“Saya dimaklumkan bahawa DSA juga akan menyediakan program akademik yang bakal memberi peluang kepada anak muda serta belia untuk mengambil peluang menerokai bidang sukan renang.
“Usaha ini adalah bertepatan dengan Tema A Visi Penang2030 iaitu meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan, khususnya di bawah inisiatif strategik A4, mempelbagaikan kemudahan rekreasi, sukan, seni dan budaya.
“Inisiatif ini telah menjadi salah satu daripada kerangka utama kepada pentadbiran Kerajaan Negeri ke arah melahirkan sebuah negeri yang pintar dan hijau, berteraskan keluarga inpirasi negara.
“Oleh itu, syabas diucapkan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini dan semoga kolam renang di bawah kendalian DSA mendapat sambutan baik oleh komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolam Renang DSA Seberang Jaya di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Timbalan Presiden Persatuan Renang Amatur Pulau Pinang, Joseph Ng Soon Siang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid serta barisan Ahli Majlis bagi MBSP.
Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Negeri Pulau Pinang (PSDKLPP), Rashidah Jalaludin; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar dan Pengasas dan Pengarah DSA Sdn. Bhd., Cyrena Yong juga turut hadir.
Dalam pada itu, Zi Sen menyatakan bahawa pembukaan Kolam Renang DSA Seberang Jaya akan memberi ruang kepada masyarakat setempat untuk menjalankan aktiviti sukan air.
Beliau memberitahu bahawa sukan air amat penting dalam membina atlet yang bakal mengharumkan nama Pulau Pinang dan negara dalam pertandingan di pelbagai peringkat.
“Aspek lain selain kolam renang penting dalam memastikan keperluan dipenuhi, amat mengembirakan apabila kemudahan gimnasium turut disediakan di kolam renang ini untuk tujuan kegunaan pembangunan sukan air.
“Sukan air juga penting dari aspek kesihatan dan kehidupan bagi semua lapisan masyarakat termasuk golongan warga emas, yang dijangka akan meningkat peratusan dalam tahun akan datang.
“Penyediaan fasiliti sebegini akan meningkatkan lagi kualiti kehidupan dan kesihatan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Cyrena Yong berkata bahawa projek menaiktarafan yang menelan kos RM5.5 juta tersebut menandakan pembaharuan yang bukan memberikan manfaat kepada perenang tetapi juga komuniti setempat serta generasi akan datang.
Menurutnya, kolam renang tersebut kini dilengkapi dengan kemudahan baharu termasuk bumbung, tandas, bilik persalinan keluarga, ginmasium, pagar anti panjat, ruang rehat, parkir serta laluan untuk orang kurang upaya (OKU) dan kawalan kamera litar tertutup pintar (CCTV).
“Usaha ini bagi membolehkan kanak-kanak dan orang dewasa dapat merasai pengalaman berenang dalam persekitaran selamat serta mesra sama ada untuk aktiviti santau atau latihan.
“Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik khasnya PDSKLPP dan MBSP kerana memberika. sokongan tanpa henti untuk kami merealisasi visi ini,” kata beliau.
Difahamkan, caj masuk ke Kolam Renang DSA Seberang Jaya adalah sebanyak RM3.25 sen termasuk cukai, manakala kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah (RM1.60) serta percuma kepada golongan OKU dan warga emas.
Waktu operasi Kolam Renang DSA Seberang Jaya adalah Selasa hingga Selasa (3empat sesi), Jumaat (tiga sesi) serta Sabtu dan Ahad (enam sesi) dan ditutup pada hari Isnin.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT