Biskut kolca atau lebih dikenali sebagai ‘biskut legend’ dalam kalangan masyarakat di Pulau Pinang ternyata mempunyai penggemarnya yang tersendiri.
Dihasilkan menggunakan enam bahan utama iaitu tepung, gula, garam, minyak sapi, jintan manis dan telur menjadikan biskut kolca lebih enak dimakan bersama dengan air kopi atau teh.
Baru-baru ini, Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual pengasas biskul Kolca Evergreen, NUR SHAHIDA ABDUL ARAFF, 37, untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perniagaan keluarga yang diusahakan sejak empat generasi lalu.
Nur Shahida berkata, dia yang merupakan generasi keempat telah mengambil alih perniagaan biskut Kolca Evergreen daripada datuknya yang kini berusia 95 tahun secara rasminya sejak lapan tahun lalu.
“Memandangkan datuk sudah uzur, maka saya telah mengambil peranan ini bagi meneruskan legasi perniagaan biskut Kolca Evergreen.
“Walaupun proses penghasilan biskul kolca agak rumit tetapi disebabkan rasanya yang sedap membuatkan ia masih dicari sehingga kini.
“Hendak buat biskut kolca memang agak renyah kerana perlu melalui proses menguli tepung dan menekap yang sememangnya memerlukan banyak masa dan tenaga.
“Satu lagi ramai orang tidak suka proses menggoreng kerana walaupun nampak senang tetapi sebenarnya agak rumit.
“Apabila minyak gorengan sudah mula berbuih, kita perlu tukar kepada minyak yang baharu bagi mengekalkan rasa biskul kolca yang sedap dan rangup,” katanya memulakan bicara.
Nur Shahida berkata, buat masa ini penghasilan biskut ‘legend’ tersebut hanya dihasilkan secara kecil-kecilan di rumah memandangkan beliau masih belum mempunyai presmis perniagaan sendiri.
“Kami masih lagi menghasilkan biskut kolca ini secara kecil-kecilan kerana semua proses dilakukan secara manual, biasanya mengambil masa sehingga dua jam bagi setiap pengeluaran.
“Namun, disebabkan permintaan terhadap biskul kolca semakin tinggi kebelakangan ini, kami telah mendapatkan sebuah mesin pengadun bagi mempercepatkan proses menguli tepung sekali gus membantu meningkatkan hasil pengeluaran.
“Buat masa ini, kami hanya mampu menghasilkan kira-kira 10 hingga 12 botol biskut kolca dalam sehari.
“Pada musim perayaan pula, kami berusaha meningkatkan pengeluaran biskut kolca kepada 20 botol sehari,” katanya.
Nur Shahida berkata, ketiadaan premis perniagaan yang sesuai menyebabkan sukar untuk beliau meningkatkan pengeluaran biskut kolca bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat saban hari.
“Saya pernah memohon untuk mendapatkan presmis perniagaan daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) tetapi masih tiada keputusan diterima setakat ini.
“Oleh kerana sudah mempunyai mesin dan tenaga kerja, maka kami memang memerlukan sebuah premis perniagaan tetap bagi melancar dan meningkatkan pengeluaran biskut kolca,” katanya.
Menurut anak jati Pulau Pinang itu lagi, walaupun diketahui sebagai biskut bermusim seperti musim perayaan dan sebagainya tetapi kini beliau menerima permintaan biskut kolca hampir setiap hari.
“Buat masa sekarang permintaan memang sangat tinggi terutamanya melalui platform Tik Tok dan Facebook.
“Kuil kolca bukan sahaja makanan kegemaran masyarakat Melayu tetapi terdapat juga permintaan daripada orang India dan Singh,” katanya.
Nur Shahida berkata, biskut Kolca Evergreen dipasarkan di sekitar Pulau Pinang dan beberapa negeri lain seperti Kedah, Melaka, Perak, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor dengan harga RM35 sebotol atau bersamaan 90 bijil.
“Kami juga menerima tempahan untuk sebarang majlis seperti majlis perkahwinan, keraian, perayaan dan sebagainya.
“Ada juga pelanggan kami yang menempah biskut kolca untuk dibawa ke luar negara,” ujarnya yang merupakan ibu kepada seorang cahaya mata.
Menutup bicara, Nur Shahida yakin biskul kolca akan terus mendapat permintaan daripada masyarakat kerana rasanya yang istimewa.
“Justeru, bagi mengembangkan lagi perniagaan biskut kolca yang turut menjadi identiti bagi negeri Pulau Pinang, saya memang memerlukan premis perniagaan sendiri.
“Saya hara pada agensi yang boleh membantu saya demi merealisasikan impian untuk mempopularkan lagi biskul kolca bukan sahaja dalam kalangan mesyarakat Pulau Pinang tetapi juga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Bagi mereka yang berminat untuk merasai keenakan biskul Kolca Evergreen boleh hubungi talian 017-575 1051.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN