Kolej Ri-Yaz tawar yuran kemasukan percuma kepada golongan terpilih

Admin

AIR ITAM – Pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menerima keputusan peperiksaan pada esok hari dipelawa untuk melanjutkan pengajian di Kolej Ri-Yaz Jalan Burma dengan yuran kemasukan secara percuma.

 

Walau bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata permohonan tersebut adalah dikhaskan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana rendah (M40) yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan sahaja.

 

“Selain itu, permohonan ini juga hanya dibuka kepada pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma bagi jurusan Pengurusan Perniagaan, Kulinari dan Perhotelan.

 

“Sekiranya berminat, mereka boleh membuat permohonan melalui laman Facebook saya, (Joseph Ng Soon Siang) dan perlu menggunakan kod QR atau pautan tersedia untuk mengisi borang permohonan dalam talian.

 

“Ini merupakan program pertama diadakan oleh Pusat Khidmat ADUN Air Itam bersama Kolej Ri-Yaz dalam membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran dalam tiga bidang yang dinyatakan,” ujar beliau dalam satu sidang media di Dewan Pusat Komuniti Air Itam di sini pagi tadi.

Hadir sama,  Ketua Eksekutif Kolej Ri-Yaz, Michael Tneh, Pengurus Pemasaran Kolej Ri-Yaz, Anis Nabilah Muuti dan Pengurus Operasi KolejRi-Yaz, Tony Toh.

 

Sementara itu, Michael Tneh ketika bercakap kepada pemberita memberitahu bahawa pihaknya cuba menjadikan pendidikan sesuatu yang mampu dinikmati oleh semua.

 

“Selepas dua tahun melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya faham banyak ibu bapa berdepan masalah kewangan, tambahan pula kos sara hidup kini semakin meningkat.

 

“Kita cuba bantu sedaya mungkin dengan mengecualikan yuran kemasukan ke kolej sebelum mereka memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” jelasnya Michael Tneh.

 

Justeru, pelajar-pelajar yang berminat boleh memohon melalui https://tinyurl.com/yc2yf7pb atau hubungi Pusat Khidmat ADUN Air Itam di talian 016-421 9143.

 

Dianggarkan kos untuk melengkapkan kursus diploma di Kolej Ri-Yaz adalah berjumlah RM18,000 bagi tujuh semester.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD