SUNGAI PINANG – Kolej Vokasional Batu Lancang (KVBL) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) menganjurkan Pertandingan Penciptaan Laman Web Perniagaan 2022 Peringkat Kebangsaan bermula hari ini.
Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, sejajar dengan transformasi dunia ke arah ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0, pembangunan bakat teknologi amat diperlukan untuk memastikan kelangsungan perniagaan.
“Saya percaya belia di Malaysia, khasnya di Pulau Pinang akan dapat meningkatkan minat dan kesedaran tentang kepentingan kemahiran digital demi kejayaan dan masa depan mereka melalui program seumpama ini.
“Usaha ini sejajar dengan slogan ‘Belia Untuk Masa Depan’ yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyediakan belia kita untuk menghadapi cabaran masa depan serta menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Selain itu, kewujudan laman web perniagaan ini akan dapat memberikan pengalaman yang selamat dan dipercayai kepada pengguna dan ia juga salah satu persediaan bagi rakyat Malaysia menjelang pelaksanaan 5G secara menyeluruh di Malaysia,” ujarnya yang hadir merasmikan Pertandingan Penciptaan Laman Web Perniagaan 2022 Peringkat Kebangsaan dekat Pusat Belia Kampung Maqbul, Sungai Pinang pagi tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling; Ketua Jabatan Perniagaan KVBL, Fadzilah Mohamad Sarip dan Ketua Unit Perhubungan dan Latihan Industri KVBL, Oh Zi Jian.
Dalam pada itu, Sai Ling ketika berucap memberitahu bahawa objektif pertandingan ini adalah untuk mencungkil bakat kemahiran mencipta laman web perniagaan dalam kalangan pelajar Kolej Vokasional.
“Kami berharap para peserta dapat menguasai kemahiran mencipta laman web perniagaan kerana ia amat dititikberatkan oleh pihak industri.
“Pertandingan ini juga mampu meningkatkan keyakinan pelajar untuk memohon pekerjaan di samping dapat meningkatkan kebolehpasaran selepas tamat pengajian,” katanya kepada pemberita.
Difahamkan tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Januari 2022 dengan sasaran 80 penyertaan daripada para pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Vokasional seluruh Malaysia.
Hadiah wang tunai ditawarkan kepada pemenang Anugerah Emas sebanyak RM500, Anugerah Perak (RM300), Anugerah Gangsa (RM200) dan 10 hadiah saguhati bernilai RM100.
Untuk keterangan lanjut boleh layari Facebook PYDC atau hubungi Zi Jian di talian 016-439 7993.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD