Komited bangunkan sukan bola sepak peringkat akar umbi

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa penganjuran Karnival Bola Sepak Akar Umbi ❤️ PENANG 2023 merupakan bukti sokongan padu Kerajaan Negeri terhadap pembangunan sukan di negeri ini khasnya bola sepak.

 

 

Justeru, beliau berharap bakat-bakat muda seawal usia bawah lapan tahun yang menyertai karnival bola sepak tersebut mampu menyinar dan mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia kelak.

 

 

“Di peringkat profesional, Kerajaan Negeri saban tahun menyediakan peruntukan yang besar kepada pasukan Penang FC untuk bersaing dalam Liga Super Malaysia.

 

 

“Bagi membuktikan Kerajaan Negeri komited dalam menggilap dan menyerlahkan bakat anak-anak tempatan dalam arena bola sepak, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakan tenaga pemain import mulai musim hadapan.

 

 

“Oleh itu pada tahun ini, Kerajaan Negeri memutuskan untuk melaksanakan program bola sepak di peringkat akar umbi bagi mencungkil bakat-bakat baru yang diharapkan akan menjadi wira bola sepak negeri dan seterusnya dapat diserlahkan sehingga ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” ujar Kon Yeow ketika  merasmikan Karnival Bola Sepak Akar Umbi ❤️ PENANG 2023 di Padang Polo dekat sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Mohd. Azizudin Mohd. Shariff dan Ahli-ahli Jawatankuasa FAP.

 

 

Gimik perasmian disempurnakan oleh Kon Yeow dengan mengambil sepakan penalti sebelum perlawanan berlangsung melibatkan 72 pasukan dengan keanggotaan umur bawah 12 dan 8 tahun.

 

 

“Saya berasa amat gembira melihat riak wajah ceria dan bersemangat daripada peserta-peserta muda yang sudah pasti tidak sabar untuk membuat tendangan pertama sebentar sahaja lagi.

 

 

“Terima kasih juga kepada para ibu bapa yang hadir untuk memberi semangat kepada anak-anak dan sekali gus memeriahkan lagi suasana karnival pada hari ini,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: SIEW CHIA EN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT