Komited erat kerjasama dengan Pusat lonjak pembangunan Pulau Pinang

Admin
BAGAI sirih pulang ke gagang, Anwar Ibrahim disambut sekalian rakyat semasa pulang ke kampung halamannya di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam pada 23 Jan 2023.

MACHANG BUBUK – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini komited mengeratkan lagi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Ke-10 Malaysia, Y.A.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengulangi iltizam politik serta komitmen bersama tersebut demi melonjak pembangunan Pulau Pinang ke suatu tahap yang lebih baik sebagaimana dihasratkan sekalian penduduk di negeri ini.

KETUA Menteri (tiga dari kiri) bersama-sama Anwar Ibrahim (empat dari kiri) dalam majlis kenduri rakyat berkaitan di sini pada malam ini.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kami (Kerajaan Negeri) yakin dan terbuka untuk saling bekerja sebagai satu pasukan.

“Ini kerana, kami (Kerajaan Negeri) percaya dengan kredibiliti, pengalaman serta pengetahuan beliau (Anwar) yang luas serta tidak asing lagi sama ada di dalam negara mahupun peringkat dunia.

“Lagipun, saya secara peribadi yakin dengan kekuatan dan perpaduan masyarakat serta kerjasama yang terjalin dengan Kerajaan Persekutuan (yang mana) kita (rakyat peringkat negeri) akan terus maju dan bersama-sama kita boleh membentuk masa depan yang lebih baik untuk Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam Majlis Kenduri Rakyat Bersama-sama Perdana Menteri Sempena Tahun Baru Cina di Kampung Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam dekat sini pada 23 Januari 2023.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut mengalu-alukan kepulangan Anwar, yang baginya kali pertama ke sini sejak menjadi Perdana Menteri.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang, saya mengalu-alukan kepulangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Pulau Pinang atau khususnya ke Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, tempat beliau dibesarkan,” katanya.

Anwar yang berucap selepas itu menggesa semua pemimpin supaya mengutamakan rakyat serta mengamalkan tadbir urus telus dalam tugas masing-masing.

“Sebagai pemimpin, kita mesti mengetepikan kepentingan peribadi dan fokus untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kita harus melayani mereka (rakyat) dengan baik, menjaga kebajikan mereka dan tidak mencuri wang mereka.

“Seorang pemimpin sejati juga mesti menolak segala bentuk rasuah, kronisme dan nepotisme.

“Hanya dengan itu, kita boleh membawa negara ini ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan aspirasi ‘Negara Madani’,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun, Perak.

Timbalan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis keraian tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD DAUD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT