GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk mempromosikan sukan-sukan tradisional pelbagai kaum dan etnik yang semakin dilupakan oleh masyarakat dalam era digital kini.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata bahawa inisiatif tersebut akan dilaksanakan melalui penganjuran program Sukan Untuk Semua atau Sports For All.
Menurut beliau, antara sukan tradisional yang akan dipromosi termasuk sepak raga tuju, layang-layang, petanque, kabaddi dan sebagainya.
“Semua sukan ini akan dipromosikan melalui program atau festival khas yang akan dianjurkan dari semasa ke semasa.
“Bagi penganjuran Pesta Layang-Layang pula, kita merancang untuk adakan pada bulan Disember 2020 bertempat di Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan.
“Bagaimanapun, penganjuran festival ini adalah masih tertakluk kepada keadaan dan situasi semasa pandemik COVID-19,” katanya pada sesi perbahasan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada 15 Oktober lalu.
Dalam isu berkaitan, Lip Chee menjelaskan bahawa Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) mewujudkan Program Pendidikan, Kerjaya dan Kebajikan Atlet Pulau Pinang (PECA) sebagai usaha melahirkan atlet prestasi tinggi.
“Program ini juga sebahagian daripada pendidikan tinggi serta dapat membina laluan kerjaya kepada atlet.
“Justeru, bagi merealisasikan program ini, MSNPP mewujudkan tabung amanah sukan yang akan menjadi sumber utama untuk membantu atlet dalam bidang pendidikan, kerjaya dan kebajikan.
“Sebanyak RM200,000 diperuntukan oleh MSNPP bagi menggerakkan program ini,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan Pelan Induk Sukan Pulau Pinang untuk menggalakkan rakyat di negeri ini bergiat dalam bidang sukan.
“Pelan ini akan merangkumi tiga inisiatif iaitu pembangunan atlet, pembangunan kemudahan atau fasiliti sukan serta pembangunan sukan massa atau sukan komuniti,” ulasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI