Komited kaji ekologi, tangani kacau ganggu gagak – Datuk Bandar MBSP

MoU berkaitan antara pihak MBSP dan USM di Menara Bandaraya di sini tadi.

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Azlan Amran untuk menambah baik operasi penghapusan burung gagak di bandar raya ini.

AZHAR Arshad

MoU itu, menurut Azhar, membolehkan kedua-dua belah pihak mengkaji ekologi burung gagak serta menetapkan kaedah mengawal habitat perosak tersebut, di samping meningkatkan kesedaran komuniti setempat.

“MBSP senantisa berusaha meneroka kaedah dan pendekatan baru dalam memastikan Seberang Perai terpelihara daripada kacau ganggu persekitaran,” jelasnya sebelum menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Kacau Ganggu Burung Gagak MBSP 2023-2030 (PETEGAK-MBSP) di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya di sini pada 19 September 2023.

Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abd. Hamid turut menyaksikan majlis pemeteraian MoU tersebut.

Serentak pada majlis sama, Azhar turut menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan siri Ops Crow Sharpshooter Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Wong Boon Kiat; dan Hamdan Ismail (pemenang Ops Crow Sharpshooter Peringkat Daerah Seberang Perai Utara dan Negeri).

Buletin Mutiara difahamkan, sehingga Ogos 2023 sejumlah 17,118 ekor gagak berjaya ditembak dalam lima siri Ops Crow Sharpshooter yang dianjurkan peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut.

Sebelum itu, Azhar mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Ke-591 (Bil.9/2023) di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD