Komited kerjasama dengan MCMC tambah baik jaringan komunikasi

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menambahbaik jaringan komunikasi di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi MCMC dekat pejabatnya di sini sebentar tadi.

“Saya melihat banyak cabaran yang perlu didepani untuk menambahbaik jaringan komunikasi, dan perkara ini akan berterusan.

“Kerajaan Negeri berharap kerjasama bersama MCMC dapat diteruskan yang mana kita juga mengalu-alukan kepelbagaian tenaga pakar serta pihak-pihak berkepentingan ke negeri ini agar cabaran berkaitan telekomunikasi dapat didepani sebaik mungkin,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin; Pengerusi MCMC, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus dan Pengarah MCMC Pulau Pinang; Rahmat Abu Nong.

Nur ‘Aishah dalam pertemuan tersebut memberitahu, Kerajaan Negeri mensasarkan kelajuan internet di Pulau Pinang mampu mencapai 50 mega bit per saat (MBPS) menjelang tahun 2025 berbanding 36 MBPS kini.

Dalam pada itu, Fadhlullah Suhaimi menyatakan bahawa Pulau Pinang merupakan antara negeri yang mempunyai liputan capaian telekomunikasi internet terbaik di negeri ini.

Justeru, tambah beliau, pihaknya akan terus menambahbaik lagi jaringan tersebut dalam menjamin keperluan bagi sektor komersial dan domestik di Pulau Pinang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD