Komited pulihara Makam Dato’ Koyah, dana tambahan disumbang

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Dalam menyiapkan kerja-kerja landskap fasa akhir makam ulama terkenal, Dato’ Koyah dekat Jalan Transfer di sini, Kerajaan Negeri baru-baru ini menyalurkan dana tambahan bagi tujuan tersebut.

Sumbangan disampaikan melalui Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim yang masing-masingnya berjumlah RM30,000.

Kon Yeow dalam ucapannya berkata, pemulihan semula bangunan Makam Dato’ Koyah yang pernah terkenal suatu ketika dahulu perlu melalui beberapa cabaran hebat.

“Perjalanan projek pemulihan bangunan Makam Dato’ Koyah ini merupakan perjalanan yang hebat dan mencabar sejak 2014.

“Saya percaya usaha yang dilakukan Persatuan Dato’ Koyah ini sungguh bermakna, maka hari ini kita menuai hasilnya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota ketika mengadakan lawatan ke makam berkaitan di sini 8 Februari lalu.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Dato’ Koyah, Abdul Rashid Masooth; ahli- ahli persatuan; wakil-wakil dari ThinkCity Sdn. Bhd. (ThinkCity) dan George Town World Heritage Incorperated (GTWHI).

Tahun lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut menyampaikan sumbangan RM100,000 bagi tujuan pemulihan berkenaan.

Lanjutan itu, Abdul Malik ketika berucap memberitahu, keputusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memberi hak kepada Persatuan Dato’ Koyah bukanlah satu keputusan yang silap kerana ia berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Terima kasih juga diucapkan kepada pihak ThinkCity… saya berharap selepas dibuka kepada umum (dijangka Jun ini), ianya mampu menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Bagi MAINPP pula, kami harap persatuan dapat memelihara tempat ini daripada tujuan negatif seperti amalan khurafat dan sebagainya,” serunya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid memberitahu, kos pemulihan bangunan makam berkenaan menelan belanja kira-kira RM1.2 juta.

“Kos adalah sedikit tinggi dan memakan masa hampir empat tahun berikutan kesukaran mendapat bekalan mentah untuk kerja-kerja pemulihan seperti kapur, bata khas, serbuk marmar, kayu cengal emas berusia 100 tahun ke atas serta teknik pembinaan yang agak sukar bagi membolehkan status warisan Kelas Satu terpelihara sebagaimana disyaratkan pihak UNESCO,” ujarnya.