Komited teliti potensi kembangkan pembangunan industri sukan negeri – Exco

Admin
4d37ad73 a288 477a 8c22 c9fd37c2ba94

GEORGE TOWN – Selaras dengan ‘Pelan Industri Sukan Negara’ yang bakal diumumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kerajaan Negeri amat komited dalam meneliti usaha bagi memastikan pembangunan sukan negeri ini berada pada tahap terbaik.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata Mesyuarat Jemaah Menteri sedang mengkaji angka sewajarnya khusus untuk pembangunan industri sukan yang berpotensi menyumbang hasil ekonomi negeri.

“Pelan tersebut bakal menggariskan beberapa strategi serta inisiatif yang boleh memberi manfaat kepada sektor industri sukan serta menghasilkan pulangan semula kepada ekonomi negara sebagaimana yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan Negara melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bilangan 1 Tahun 2024 pada 18 April 2024 yang lalu.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri juga turut menerima dan mengalu-alukan jalinan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan bagi cadangan pelaburan yang dilihat berpotensi untuk mengembangkan sektor sukan negeri ke arah yang dinamik,” katanya sebagai menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas dekat sini pagi ini.

Tambah Zi Sen, pembangunan Akademi e-Sports juga perlu dilihat secara menyeluruh dan holistik khususnya dalam melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Kerajaan Negeri melihat pembangunan industri sukan menjurus impak secara menyeluruh, setiap sumber peralatan dan perkakas yang digunakan menerima manfaatnya tersendiri khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Untuk makluman, setakat ini terdapat Akademi e-Sports di Komtar dan Esports Youth Cabin (Kepala Batas) yang boleh dikunjungi setiap golongan belia, justeru cadangan penubuhan Akademi e-Sports di stadium di Jalan Betik perlu diperhalusi terlebih dahulu mengikut kesesuaian lokasi untuk kemudahan peserta,” ujarnya yang juga merupakan ADUN Padang Lalang.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING