Komitmen Kerajaan Negeri kekal sama, teruskan agenda kebajikan rakyat – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian Majlis Iftar Rakyat ‘Geybar’ Ramadan di perkarangan Masjid Al-Huda Sungai Bakau, Nibong Tebal di pada 19 April 2023.

SUNGAI ACHEH – Rakyat Pulau Pinang yang berbilang kaum diseru untuk terus memberi sokongan pada kepemimpinan Perdana Menteri Ke-10 Malaysia, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim dalam mengukuhkan agenda Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan pada peringkat Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan peringkat Pusat, ia sekali gus menjadi kelangsungan agenda kebajikan, ekonomi rakyat serta pembangunan negara di negeri Pulau Pinang.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Iftar Rakyat ‘Geybar’ Ramadan di Masjid Al-Huda Sungai Bakau, Nibong Tebal dekat sini pada 19 April 2023.

KETUA Menteri (dua dari kiri) turut menyantuni salah seorang asnaf dalam majlis berkaitan di sini tadi.

“Saya juga ambil kesempatan menyeru tuan-tuan dan puan-puan untuk juga memberi kepercayaan dan sokongan kepada pemimpin Perdana Menteri yang baharu, YAB Dato’ Seri (Utama) Anwar Ibrahim dalam menerajui Kerajaan Perpaduan selepas berlangsungnya PRU15.

“(Dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan peringkat Putrajaya, maka) ia membuka lembaran politik baharu daripada segi pembentukan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti politik yang sebelum ini berbeza pegangan, tetapi atas keperluan setelah PRU, maka terbentuknya sebuah Kerajaan Perpaduan.

“Seperti yang saya ulangi, komitmen Kerajaan Negeri hari ini masih kekal sama (iaitu) kita akan meneruskan agenda dan dasar-dasar yang menjaga kebajikan rakyat.

“(Justeru,) saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat terus memberi kepercayaan serta sokongan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri untuk menjayakan agenda penting ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan di perkarangan masjid yang berusia kira-kira 75 tahun tersebut.

Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Khairulnizam Hashim; Pengarah Penjara Seberang Perai, PKK Mahadzair Abd. Ghapar; Hakim Mahkamah Rendah SPS, Hardi Alias; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah SPS, Md. Radzi Abdullah; Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah SPS, Zulkhairy Ramli dan Pengerusi Masjid Al-Huda Sungai Bakau, Fadzil Abdullah turut sertai majlis tersebut.

Sebelum majlis berbuka puasa, Kon Yeow turut menyaksikan acara penyampaian duit raya masing-masing RM100 kepada 42 asnaf terpilih sekitar Daerah SPS.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING