Oleh: YAP LEE YING
Gambar: LAW SUUN TING
BULETIN Mutiara (BM) mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengenalpasti lokasi pembuat bedak sejuk tradisional Lean Seng di Kuala Jalan Bharu, Balik Pulau.
Perjalanannya adalah tidak mudah, selain lorong kecil, pasukan BM juga perlu melalui titi curam dan jalan kampung untuk tiba ke kediaman Yeoh Keng Beng, 72, atau lebih mesra dengan panggilan Uncle yang telah 29 tahun berkecimpung di dalam bidang pembuatan produk kecantikan asli tersebut.
Kedatangan kami disambut dengan mesra walaupun tiada temujanji dibuat sebelum itu. Dengan gaya selambanya, Uncle seolah-olah mengetahui tujuan kedatangan kami. Dengan pantas, Uncle menyatakan bahawa beliau tidak pandai bertutur dalam Bahasa Malaysia dan juga Mandarin, cuma dalam loghat Hokkien kerana beliau hanya menamatkan pembelajaran pada tahap tahun 3.
Situasi tersebut bagaimanapun tidak menjadi penghalang kepada BM. Tambahan pula, Uncle dengan pantas mencapai sebuah cakera padat yang merakamkan kerja-kerja pembuatan bedak sejuk untuk dipertontonkan kepada kami. Rakaman tersebut lazimnya memudahkan sesi temubual pada hari berkenaan.
Menceritakan sejarah asal-usul Bedak Sejuk Lean Seng, Uncle menyatakan bahawa ia adalah hasil ciptaanya sendiri. Perit dengan kerjaya nelayan dan persaingan industri pembuatan belacan, beliau kemudian mendapat ilham untuk berkecimpung dalam bidang kecantikan iaitu bedak sejuk.
Kepada mereka yang tidak mengenali bedak sejuk, lontarkanlah persoalan tersebut kepada ibu, bapa atau nenek masing-masing. Dahulu kala, bedak sejuk merupakan satusatunya produk kecantikan yang digunakan oleh kaum hawa untuk menghaluskan kulit sebagai tarikan pemikat.
Menceritakan pengalaman beliau, pada peringkat permulaan, Uncle telah menghabiskan tempoh lima hingga enam bulan hanya untuk mengkaji asas dan teknik pembuatan bedak sejuk. Asalnya, beliau menggunakan daun pisang, namun, ekoran kuantiti penghasilan yang terhad, beliau telah cuba menggunakan acuan direka khas sehingga kini.
Sukar dipercayai, dua bahan asas pembuatan bedak sejuk adalah beras dan air. Menurut Uncle, beras yang digunakan adalan jenis beras hancur iaitu yang digunakan untuk membuat koew teow.
Peringkat pertama adalah beras perlu dibasuh sebanyak lima kali dan direndam selama dua minggu.
“Selepas dua minggu, beras yang direndam akan menjadi liat, berbau seperti tapai dan mengeluarkan buih pada
permukaan atas. Malah, warna beras juga akan bertukar menyerupai mutiara.
“Beras tersebut kemudian dikisar dan kemudian ditapis dengan menggunakan penapis kain supaya habuk beras dapat diasingkan. Pada proses ini, cecair yang ditapis adalah berwarna putih salji.
Bagi menjamin kehalusan produk, cecair tersebut sekali lagi dituang di dalam beg kain (yang tersedia digantung) dan dibiarkan menitis dengan sendiri dalam tempoh kira-kira enam jam,’’ katanya kepada BM ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini.
Tambah Uncle, cecair tersebut kemudiannya dikacau sebelum dimasukkan ke dalam acuan khas sedikit demi sedikit untuk memastikan bentuknya adalah sekata.
Bentuk-bentuk bedak sejuk yang menyerupai titisan air itu kemudiannya diletakkan di atas kertas khas untuk tujuan penyidaian (pengeringan).
“Bedak-bedak sejuk yang telah dibentuk dijemur selama satu jam selama dua hari. Sebab itu, sekiranya hari hujan, pembuatan bedak sejuk terpaksa dihentikan,’’ ujarnya sambil menyatakan bahawa bedak-bedak sejuk tersebut kemudian dimasukkan ke dalam botol secara manual untuk dipasarkan.
Pada usianya, Uncle masih amat aktif dan kuat. Malah, sebanyak 12 kilogram (kg) bedak sejuk dapat dihasilkan setiap hari oleh beliau. Tidak dinafikan bahawa anak-anak serta cucu-cucu beliau mendesaknya untuk memberhentikan pembuatan produk berkenaan, namun, disebabkan komitmen dan permintaan daripada pelanggan tetap, beliau masih meneruskannya.
“Anak ada tolong pada hari minggu sahaja. Susah untuk saya berhenti kerana ia (pembuatan bedak sejuk) telah menjadi darah daging saya. Tambahan pula, saya kesiankan pelanggan-pelanggan lama saya,’’ katanya sambil tersenyum lebar mengakhiri sesi temubual BM pada hari itu.