Kompaun dikeluarkan secara automatik, ciri pintar baharu PSP

Admin
27fb5104 96fd 462b 827b cb6519890371 JASON H’ng Mooi Lye dalam sidang media berkaitan di Menara Bandaraya MBSP menjelang tengah hari tadi.

SEBERANG JAYA – Mulai hari ini Penang Smart Parking (PSP) dilancarkan dengan kemudahan pengecaman plat nombor automatik (ANPR).

Penggunaan teknologi pengecaman aksara optik (OCR) dalam sistem parkir pintar baharu itu bukan sahaja membolehkan nombor plat kenderaan diterjemah ke data digital, malah sistem penguatkuasaan bagi mengesan pelanggaran peraturan parkir dapat dilakukan secara cepat, tepat dan automatik.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, PSP versi 3.2.0 membolehkan proses pengeluaran kompaun melalui peranti mudah alih tersebut, apabila pengesanan parkir tidak sah berlaku.

“Sistem ini membolehkan data pemilik kenderaan diperoleh serta-merta semasa pengeluaran kompaun (yang mana) ini mempercepat proses penguatkuasaan dan mengurangkan risiko kesilapan,” jelasnya semasa merasmikan Majlis Pelancaran ANPR Penang Smart Parkir Versi 3.2.0 di lobi Menara Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini pada 24 April 2025.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu lagi, PSP versi terbaru tersebut juga boleh menjana kompaun secara automatik apabila mengesan parkir tak berbayar; mengeluarkan Notis Tawaran Kompaun (NTK) semakan manual oleh pegawai jika perlu; serta menyediakan notifikasi mudah alih secara serta-merta kepada pelanggan.

Dengan penaiktarafan sistem parkir pintar negeri, Mooi Lye memberitahu penglibatan tenaga kerja dalam operasi penguatkuasaan berkaitan dapat dijimatkan kira-kira 60 peratus.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Direktorat Penguatkuasaan MBSP, Nazri Abdul Wahab mewakili Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid antara yang turut hadir pada majlis berkaitan di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NORAZIS