GEORGE TOWN – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap premis-premis perniagaan yang masih ingkar menggunakan penyedut minuman plastik (straw).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran berkata bahawa pemberitahuan semula larangan menggunakan plastik sekali guna tersebut sudah dilaksanakan sejak tahun 2024 lagi kepada para peniaga.
“Kempen ‘No Plastic Straw’ telah diperkenalkan sejak tahun 2024 lagi dan menjadi salah satu syarat bagi tujuan pembaharuan lesen.
“Pada Oktober 2024, sekali lagi MBPP telah memaklumkan kepada pengusaha minuman untuk menghabiskan semua stok straw plastik yang ada.
“Hal ini bagi membolehkan pihak MBPP mengambil tindakan sewajarnya bermula Januari 2025.
“(Dan) sudah tiba masanya straw plastik ini tidak lagi digunakan di premis-premis perniagaan minuman,” ujarnya pada sidang media seusai Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 1 Tahun 2025 di Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama pagi tadi.
Menurut Rajendran, peniaga yang masih ingkar boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 dan penyedut minuman plastik tersebut akan dirampas.
“Sekiranya kesalahan berulang tindakan sama boleh diambil dan lesen tidak akan diperbaharui lagi,” tegasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD