Kompaun PG1 selesai

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) terhadap kenderaan rasmi Ketua Menteri yang dikesan diletakkan bersebelahan pili bomba di Lebuh King di sini pada 22 Februari lalu telah dibayar.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai pada sidang media di sini baru-baru ini.

Jelasnya, isu yang menjadi viral di laman media sosial khususnya dianggap selesai setelah kompaun yang dikenakan telah dibayar.

“Kompaun ke atas kenderaan rasmi Ketua Menteri yang dikeluarkan oleh MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) telahpun dibayar dan dianggap selesai.

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah sebuah kerajaan yang cakap serupa bikin selain tidak mengamalkan double standard (pilih kasih),” katanya di sini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Terdahulu, kereta rasmi Ketua Menteri jenis Mercedes Benz S300L bernombor pendaftaran PG1 menjadi viral di internet ekoran dikesan diletakkan di bersebelahan pili bomba di Lebuh King di sini.

Laporan kemudian menyatakan bahawa kenderaan tersebut diletakkan di lokasi tersebut setelah menghantar Ketua Menteri ke Dewan Perniagaan Cina, bagaimanapun, pemandu masih berada di dalam kenderaan tersebut dan tidak meninggalkan di bahu jalan.

Sebelum ini, kereta tersebut juga pernah menjadi viral setelah dikesan diletakkan di lorong basikal di hadapan Depoh Bas Hin di Jalan Gurdwara di sini.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);