Kompleks baru, sewa kekal

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Rata-rata peniaga Kompleks Penjaja Taman Brown yang menjalankan perniagaan puluhan tahun di sini lega dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerjakerja penaiktarafan yang dijangka bermula Julai ini.

Dalam projek naiktaraf hasil inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) tersebut, struktur usang kompleks, tandas dan kemudahan surau bakal diberikan keutamaan bagi menobatkannya bertaraf antarabangsa.

Salah seorang peniaga minuman kompleks, Khuraisha Omar Khatab, 39, menyatakan rasa syukurnya apabila dimaklumkan mengenai inisiatif berkenaan.

“Saya bersyukur, sekurangkurangnya pelanggan tidak perlu lagi berlari ketika hujan. Paling sedih bila tengok sambil berdiri pun mereka habiskan makanan.

“Dalam pada itu, saya juga berharap bumbung dapat ditinggikan untuk mengelakkan bola dari padang bersebelahan masuk ke dalam tempat makan,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Taklimat Bersama Para Peniaga Berhubung Projek Naiktaraf Kompleks Penjaja Taman Brown di sini baru-baru ini.

Hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Bagi Masayu Majid, 30-an, yang turut menjalankan perniagaan di sini, beliau paling tertarik apabila dikhabarkan bahawa sebuah surau turut akan dibangunkan di kawasan tersebut.

“Selalu pelanggan tanya surau di mana? Saya jadi segan nak jawab sebab tiada surau dan secara tak langsung ia melahirkan persepsi negatif kata kami tidak sembahyang. Kebiasaannya, saya terpaksa sembahyang dalam kereta kerana tiada kemudahan surau dibekalkan di sini,” nyatanya.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, projek bernilai RM1.7 juta tersebut bakal mengambil tempoh masa setahun untuk disiapkan.

“Kita sudah arahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk memanggil tender pada bulan April ini. Kerja-kerja akan dijalankan pada Julai nanti dan mengambil masa selama setahun untuk disiapkan.

“Tempoh masa lama diperlukan kerana tiada peniaga akan dipindahkan apabila kerja penaiktarafan ini dilakukan,’’ jelas beliau.

Tambahnya, kadar sewa di sini juga akan dikekalkan pada kadar RM36 sebulan.