Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri yang kini masih dalam proses pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang 1 Oktober 2014.
Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Ahmad Latif Abdul Hamid, penyerahan tapak pembinaan dilakukan pada 5 Januari lalu dan akan mengambil masa 143 minggu untuk siap sepenuhnya.
“Sehingga kini, projek ini telah 4% siap dan segalanya adalah mengikut jadual.
“Bagi kerja-kerja pembinaan, projek ini menggunakan teknik ‘Industrialized Building System’ (IBS) di mana kerja-kerja yang dilakukan adalah dalam skala terkawal bagi memastikan persekitaran kawasan pembinaan tidak terjejas,” ujar beliau dalam taklimat ringkas sempena lawatan tapak oleh Ketua Menteri di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, turut berpuas hati dengan proses pembinaan projek tersebut yang menelan belanja hampir RM33 juta (kos kontrak asal).
“Sejumlah 3.49 ekar tanah telah diperuntukkan bagi Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri ini. Walau bagaimanapun, pembinaan hanya melibatkan keluasan 2.93 ekar.
“Nilai tanah adalah RM36.5 juta, tetapi, ia merupakan taksiran awal pada 2010. Kini, nilai tanah telah meningkat sekali ganda,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Dr. Abdul Rahman Abbas, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim kerana telah berjaya memperoleh peruntukan daripada Kerajaan Pusat bernilai RM36 juta untuk tujuan berkenaan.
Kata Guan Eng, Kerajaan Negeri sentiasa komited dan peka dengan keperluan rakyatnya terutama hal-hal yang berkaitan agama. Malah, beliau turut menegaskan bahawa walaupun terdapat sesetengah pihak yang sengaja memutar-belitkan fakta, namun, hakikatnya masih tidak dapat diubah.
Ketua Menteri yang ditemani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus; Timbalan beliau, Datuk Mansor Othman; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Utiliti, Lim Hock Seng; Abdul Malik; Ketua Hakim Syarie Negeri, Datuk Yusof Musa dan wakil perunding projek turut meninjau persekitaran tapak pembinaan tersebut.
Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri bakal mempunyai tujuh aras yang terdiri daripada ruang lobi, dewan serbaguna, surau, balai polis, kafeteria, dewan bicara dan pusat penjagaan kanak-kanak. Malah, kompleks tersebut juga mempunyai kelengkapan yang mesra OKU (golongan kurang upaya).