Kompleks Makanan Medan Renong kini bebas plastik sepenuhnya

Admin
img 20240120 wa0038

PADANG KOTA – Kompleks Makanan Medan Renong yang menempatkan kira-kira 50 peniaga menjadi kompleks makanan pertama di negeri ini yang telah melaksanakan inisiatif bebas plastik 100 peratus.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow Kerajaan Negeri amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh peniaga-peniaga di kompleks berkenaan dalam menjayakan inisiatif mengurangkan penggunaan beg plastik di negeri ini.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana telah melaksanakan inisiatif bebas penggunaan plastik di Kompleks Makanan Medan Renong.

“Terima kasih kepada peniaga-peniaga di sini kerana sudi menyahut inisiatif ini dengan memberikan kerjasama penuh demi memastikan Kompleks Makanan Medan Renong menjadi contoh kepada kompleks makanan lain sama ada milik MBPP atau swasta di negeri ini,” katanya semasa berucap pada majlis penghargaan kepada peniaga-peniaga dekat sini sebentar tadi.

img 20240120 wa0036

img 20240120 wa0034

img 20240120 wa0040

img 20240120 wa0039

img 20240120 wa0035
Ilustrasi projek pembinaan bumbung di Kompleks Makanan Medan Renong yang bakal dilaksanakan.

Turut hadir, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiauasaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee serta Ahli-Ahli Majlis bagi MBPP.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa inisiatif tanpa plastik yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri sejak 2009 perlu diperhebatkan lagi agar dasar pengurusan sisa pepejal serta inisiatif hijau di negeri ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Saya berharap agar Exco Alam Sekitar dapat meneruskan agenda ini kerana inisiatif hijau mempunyai pelbagai cabaran memandangkan ia tidak boleh ditangani dalam kadar segera sebaliknya memerlukan penglibatan masyarakat.

“Oleh itu, saya berharap agar rakyat Pulau Pinang terus berganding bahu membantu Kerajaan Negeri dan MBPP supaya lebih banyak inisiatif hijau yang diperkenalkan dapat dijayakan sepenuhnya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Pada masa sama, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut mengalu-alukan hasrat MBPP untuk membina bumbung di Kompleks Makanan Medan Renong demi keselesaan pengunjung.

“Diharap agar rojek pembinaan bumbung yang menelas kos hampir RM1 juta ini dapat memenuhi kehendak para peniaga supaya masalah yang dihadapi oleh para pengunjung terutamanya ketika cuaca hujan dan panas terik dapat diatasi, malah pada masa sama turut membawa manfaat dan impak besar kepada Medan Renong,” ulasnya.

Sementara itu, Rajendran menyatakan bahawa pemilihan Kompleks Makanan Medan Renong berhubung pelaksanaan inisiatif bebas plastik adalah kerana kompleks tersebut merupakan salah satu lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri.

“Pada awal tahun 2023 sehingga pertengahan tahun yang sama, MBPP telah berunding dengan peniaga di Medan Renong untuk tidak menggunakan plastik.

“Ini kerana kadar kutipan sampah melibatkan bahan plastik adalah 21 peratus plastik atau 50,000 tan setahun… oleh itu, MBPP merancang untuk tidak membenarkan plastik digunakan di mana-mana tapak penjaja dan premis makanan di negeri ini,” jelasnya.

Menyentuh mengenai projek pembinaan bumbung di Kompleks Makanan Medan Renong, beliau memberitahu bahawa projek tersebut dijangka akan dimulakan pada bulan Jun dan siap pada Disember tahun ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING