Kompleks Masyarakat Penyayang dijadikan PKRC

GEORGE TOWN – Kompleks Masyarakat Penyayang (KPM) kini ditukar kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa KPM mampu menyediakan ruang 90 hingga 100 katil bagi menempatkan pesakit yang memerlukan rawatan terutamanya rawatan oksigen.

“Sejak kebelakangan ini, pesakit yang memerlukan rawatan membabitkan kategori tiga hingga lima telah melebihi 40 peratus daripada jumlah kemasukan ke hospital.

“Oleh yang demikian, keadaan ini memerlukan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mencari tempat tambahan untuk menyediakan kemudahan ini.

Kompleks Masyarakat Penyayang yang diubah suai menjadi PKRC bagi menampung peningkatan jumlah kes positif COVID-19.

“Sebelum ini, usaha untuk membuka wad telah dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP), Hospital Bukit Mertajam serta Hospital Seberang Jaya tetapi kita masih memerlukan kemudahan ini susulan berlakunya pertambahan kes sejak beberapa hari lalu.

“Justeru, atas cadangan JKNPP, kita (Kerajaan Negeri) setuju untuk menukarkan KMP sebagai PKRC,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengadakan lawatan ke KMP dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar serta Pengarah JKNPP, Datuk Dr. Asmayani Khalib serta wakil-wakil agensi berkaitan.

Tambah Kon Yeow, kerja-kerja penambahbaikan PKRC tersebut adalah di bawah lantikan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bermula pada 17 Ogos lalu dan wad pertama dijangka dapat disediakan dan dibuka pada Jumaat ini.

Kerja-kerja penambahbaikan sedang giat dijalankan.

Menurut beliau, pemilihan KMP sebagai PKRC adalah selepas mengambil kira beberapa faktor terutamanya lokasi yang sesuai kerana berdekatan dengan HPP.

“Keadaan ini memudahkan pemindahan pesakit ke HPP sekiranya memerlukan rawatan lebih kritikal.

“Semua pesakit yang dimasukkan ke sini akan ditempatkan di paras bawah manakala ruang-ruang lain akan digunakan oleh petugas kesihatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru kepada semua pihak khususnya syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain supaya tampil membantu bagi melengkapkan kemudahan yang diperlukan di pusat tersebut.

“Peralatan yang diperlukan adalah yang berbentuk perubatan dan bukan perubatan seperti katil resusitasi, vital sign monitor, electrocardiogram (ECG), set diagnosis, kipas industri, kerusi roda, khemah yang dilengkapi dengan kipas soket serta banyak lagi.

“Oleh itu, kita menyeru kepada mana-mana pihak yang ingin membantu menyalurkan sumbangan peralatan ini boleh berhubung dengan Pegawai Perubatan (Bahagian Perubatan) JKNPP, Dr. A. Lingeswaran di talian 012-594 4347 atau Ketua Penolong Pegawai Perubatan, Halim Abdul Hamid, 012-407 3200.

“Selain itu, bagi pihak yang ingin memberikan sumbangan secara tunai, Kerajaan Negeri telah menyediakan Tabung COVID-19 menerusi akaun Maybank 5570 546 209 30,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR