GEORGE TOWN – Tujuh daripada lapan unit gerai di Kompleks Penjaja Taman Harapan dekat Jalan S.P Chelliah seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini sudah memulakan operasi.
Menurut Ahli Majlis bagi MBPP, Wong Yuee Harng, kompleks penjaja tersebut sebenarnya sudah memulakan operasi sejak April lalu namun masih memerlukan promosi meluas.
“Tujuh sudah diisi iaitu terdiri daripada kedai makanan, minuman dan kedai runcit. Antara aneka makanan terdapat di sini termasuklah set nasi, set piza, makanan barat dan char kuetiau.
“Sebenarnya dua bulan pertama para peniaga dikecualikan untuk membayar sewa (RM150), namun terdapat permintaan oleh para peniaga untuk melanjutkan pengecualian itu lagi.
“Maka dengan itu saya akan bawa perkara tersebut ke dalam mesyuarat jawatankuasa untuk keputusan selanjutnya,” ujar Yuee Harng dalam satu sidang media di sini tengah hari tadi.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.
Yuee Harng berharap penduduk sekitar projek The Rise dan Lembah Sungai juga dapat membantu para peniaga di situ.
Operasi kompleks penjaja itu kini bermula dari jam 8 pagi hingga 11 malam.
Kesempatan sama, Lai Heng dan Yuee Harng turut mengedarkan apron kepada para peniaga di situ.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING