Komtar berubah wajah, penambahbaikan perlu diteruskan

Admin

GEORGE TOWN – Rata-rata para peniaga bersyukur di atas inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) berhubung penambahbaikan persekitaran kawasan Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar) yang lebih ceria dan memberi impak positif kepada perniagaan masing-masing.

Dalam pada itu, peniaga-peniaga yang ditemui Buletin Mutiara (BM) baru-baru ini berharap supaya inisiatif tersebut dapat diteruskan sebagai usaha berterusan dalam menobatkan bangunan yang kini telah berusia hampir 25 tahun itu sebagai mercu tanda serta identiti negeri Pulau Pinang dan juga sebagai bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri sejak dahulunya.

Ini adalah untuk mengelakkan Komtar daripada menjadi ‘sepi’ selepas jam 6 petang (selepas waktu pejabat) dan juga pada hujung minggu yang mana orang ramai lebih cenderung berkunjung ke pasaraya-pasaraya baru yang tumbuh bagaikan cendawan di sini kini.

Menurut seorang peniaga kedai makanan masakan Melayu, Omar Harun, 51, Kerajaan Negeri tidak pernah mengganggu mahupun diskriminasi terhadap peniaga melayu terutamanya sepertimana yang dilaporkan media. Peniaga seharusnya menjalankan perniagaan dengan menggunakan landasan yang betul, patuh pada undang-undang ditetapkan, bukan sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan mengikut sesuka hati.

Diharap Kerajaan Negeri dan pihak yang terlibat terus mencari inisiatif bagi menghidupkan semula Komtar seperti zaman kegemilangannya dahulu.

Dahulunya Komtar adalah tumpuan utama penduduk Pulau Pinang, namun, kini ianya seakan sepi dengan membangunnya kompleks membeli belah di sekitar Pulau Pinang,” katanya yang telah menjalankan perniagaan selama empat tahun kepada BM di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, penjual buah-buahan yang hanya ingin dikenali sebagai Ng, 54, menyatakan bahawa beliau tidak pernah menghadapi sebarang masalah sepanjang dua tahun menjalankan perniagaan buah-buahan. Malah, buah yang dijualnya sentiasa laris dalam tempoh tiga jam. Beliau juga turut berkongsi cerita, penjawat awam adalah antara pelanggan tetapnya setiap hari.

Bagi seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd. Jamil, 33, yang telah hampir 12 tahun menjalankan perniagaan di sini berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan untuk membuka kembali Menara Komtar untuk kunjungan orang awam dan pelancong asing menikmati pemandangan Pulau Pinang dari jarak atas.

Sependapat adalah peniaga hanya ingin dikenali sebagai Darrel, 21, beliau lazimnya tidak menghadapi sebarang masalah atau kesulitan sepanjang lima tahun menjalankan perniagaan di sini. Malah, beliau melahirkan rasa gembiranya kerana Komtar telah berubah wajah hasil inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Saya kini berasa lebih selesa untuk menjalankan aktiviti jualan dengan adanya kiosk-kiosk baru yang telah disewakan kepada mereka yang ingin menjalankan perniagaan,” jelas Darrel.