Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Kerja-kerja pemuliharaan dan naiktaraf Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bakal dimulakan pertengahan tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2015.
Ini adalah termasuk kerjakerja pembinaan termasuk lif lingkaran luar Komtar yang bakal menjadi produk tarikan terbaharu menghubungkan Tingkat 5 ke puncak (Tingkat 65); pembinaan semula premis restoran bertaraf antarabangsa (sky dining) di Tingkat 59 dan Tingkat 60; menaiktaraf empat lif sedia ada dalam bangunan Komtar, pembinaan Dewan Bankuet (Tingkat 5), arked membeli-belah (Tingkat 5) dan eskalator di tangga utama ke Tingkat 5.
Apabila ia siap, dewan bankuet akan mempunyai ruang sambut tetamu, ruang istirahat dan ruang makan yang mampu menampung 750 hingga 800 orang dalam satu-satu masa.
Pembinaan tersebut juga bakal meliputi kawasan Dewan Tunku yang bakal dibangunkan sebagai Pusat Teknologi Pulau Pinang iaitu pertama seumpamanya dalam ngara.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, syarikat World Equipment Sdn. Bhd. (WESB) di bawah Only World Group (OWG) adalah pembida yang berjaya memperoleh tender pembinaan bernilai RM40 juta tersebut.
“Kerajaan Negeri berharap Komtar akan ‘hidup’ semula dan menjadi tarikan utama pelancong yang datang ke Pulau Pinang,” katanya pada Majlis Pecah Tapak Bagi Pembinaan Dewan Bankuet, Tingkat 5 Komtar di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang, Pengarah Urusan WESB Richard Koh, Timbalan Pengurus Besar PDC, Iskandar Basha Abdul Kadir dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar yang kini merupakan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik