Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN– Buat tahun keempat, penganjuran pertandingan Komtar Tower Run bagi menawan menara 60 tingkat (232 meter) yang menjadi mercu tanda negeri Pulau Pinang berjaya memikat 1,097 penyertaan dari dalam dan juga luar Negara pada tahun ini.
Pelajar Sekolah Menengah Mutiara Impian, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS), Norsuziana Shukri yang muncul sebagai juara kategori Junior (wanita) ketika ditemui Buletin Mutiara tidak menyangka penyertaaan sulungnya membuahkan hasil.
“Ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan ini dan tidak sangka saya sampai ke tahap ini dengan catatan masa 20:25 saat.
“Saya sangat gembira dan akan belanja keluarga saya dengan hadiah yang dimenangi,” katanya di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Calvin Boon yang memenangi kategori Junior (lelaki) berjaya mencatatkan 13:07 saat. Beliau merupakan juara bertahan bagi tiga tahun berturut-turut. Kedua-dua pemenang tersebut menerima hadiah wang tunai bernilai RM500 berserta pingat emas. Bagi Kategori Lelaki Terbuka dimenangi oleh R. Ruburn Kumar dengan catatan masa 12:46 saat, manakala, Esther Karimi (kategori Wanita Terbuka) 15:18 saat.
Kedua-dua johan tersebut membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta pingat emas.