GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim mahu komuniti setempat lebih peka terhadap kebajikan yang diperlukan di kawasan kejiranan masing-masing.
Jelasnya, sesetengah individu dalam komuniti ketika ini kurang cakna atau mengetahui bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan dalam membantu golongan berkaitan.
“Jadi, adalah amat penting untuk kita sebagai rakyat ‘explore’ dalam komuniti yang mana terdapat sesetangah daripada mereka tidak tahu untuk mendapatkan bantuan.
“Antara bantuan yang di sediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah Bantuan Warga Emas (BWE) telah di naikkan dari RM500 2024 ke RM600 untuk tahun 2025.”
Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin turut dinaikkan iaitu daripada RM200 kepada RM250 seorang bagi anak berusia enam tahun dan ke bawah; serta daripada RM150 kepada RM200 seorang bagi anak lingkungan usia tujuh hingga 18 tahun dengan kadar maksimum RM1,000 sekeluarga.
“Syarat kelayakan pendapatan maksimum bagi Bantuan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) dinaikkan kepada RM1700.00 daripada RM1500.00. Pendapatan maksimum merujuk jumlah pendapatan kasar termasuk gaji pokok, elaun, kerja lebih masa, termasuk pendapatan dari sewa, pencen, zakat, sumbangan dan lain –lain sebanyak RM1,700.00 sebulan. Pendapatan minimum untuk pemohon OKU ditetapkan sebanyak RM100.00 sebulan.”
“Syarat kelayakan pendapatan bulanan isi rumah bagi Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar/Pesakit Kronik Tidak Terlantar (BPT) dinaikkan kepada RM5000.00 daripada RM3000.00.”ujar beliau ketika mengadakan Jelajah Manfaat Rakyat di daerah Timur Laut hari ini.
Mengulas lanjut, Siew Khim turut mengajak golongan belia untuk menyertai Sukarelawan Mutiara yang bertujuan menjaga kebajikan golongan kurang bernasib baik dalam komuniti.
Ziarah tersebut menyantuni beberapa individu yang menerima bantuan JKM Pulau Pinang.
Rumah pertama yang dikunjungi adalah milik Habsah Abu Bakar,77, yang tinggal sebatang kara di Kampung Rawa.
Ketika menyantuni ketiga-tiga penerima, Siew Khim turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan sumbangan tunai persendirian.
Penerima kedua ialah Lim Kim Tow, 76, mewakili isterinya, Ong Guat Eng, 67, yang terlantar akibat kemalangan pada 11 September 2021 sehingga mengalami kecederaan otak yang teruk.
Kunjungan ketiga adalah ke kediaman S.Catherine Cecilia, 61, yang tinggal bersama-sama tiga orang cucunya di Jalan Veterinari.
Difahamkan, beliau cuma bergantung kepada pencen suaminya yang merupakan bekas kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi menampung perbelanjaan harian.
Tiga cucunya itu turut menerima bantuan JKM berupa Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING