GEORGE TOWN – Kurang tujuh minit sebelum jam 8 pagi, calon Perpaduan N26 Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota, Tuan Chow Kon Yeow tiba di Pusat Mengundi dekat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hu Yew Seah.
Beliau diiringi calon Perpaduan N28 DUN Komtar, Teh Lai Heng.
Seketika kemudian, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong bersama-sama veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Tan Sri Lim Kit Siang tiba bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ke-15 di sini.
Pada sidang media selepas itu, Kon Yeow yang juga calon ‘Ketua Menteri Perpaduan’ menzahirkan rasa syukur kerana proses kempen PRN selama dua minggu sejak 29 Julai lepas hingga tengah malam tadi berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu lagi, semua calon serta jentera parti yang mengambil bahagian dalam PRN Pulau Pinang Ke-15 ini telah mengamalkan semangat demokrasi dalam suasana muhibah dan baik.
Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang berkata bahawa pihaknya berharap proses pengundian pada hari ini yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjalan lancar seperti dirancang.
“Saya berharap hari pengundian ini dapat disempurnakan dengan berjayanya, harap (proses di) pusat-pusat mengundi berjalan lancar, semua petugas (SPR) melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memudahkan pengundi-pengundi menunaikan kewajipan sebagai warganegara.
“Maka, kita akan menunggu keputusan (PRN Pulau Pinang Ke-15) yang mana pada hari ini rakyat menentukan masa depan kita (Pulau Pinang),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Di samping itu, Kon Yeow turut diminta mengulas mengenai jangkaan peratusan keluar mengundi PRN Pulau Pinang Ke-15 yang dijangka merosot.
“Pada akhir hari (mengundi) baru tahu (peratusan keluar mengundi sama ada merosot atau sebaliknya,” ujarnya sebagai menjawab soalan pemberita di sini.
Sehingga 12.30 tengah hari tadi, Kon Yeow sempat melawat beberapa pusat mengundi lain di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Lebuh Light, SK Hutchings, Sekolah Menangah Kebangsaan (SMK) St. Xavier, SJKC Aik Hua, SJKC Shih Chung Pusat, SK Perempuan Island, SK Wellesley dan SK Sri Tanjong.
Sebagai rekod, semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, Kon Yeow mendapat 9,278 undi dan menang di N.26 DUN Padang Kota.
Dengan majoriti 7,808 undi, beliau menewaskan dua pencabar lain iaitu H’ng Khoon Leng (1,470 undi) dan Goh Saik Wei (71 undi), sebelum ditaklifkan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal pentadbiran PRU14 tersebut.