Kon Yeow beri isyarat PRN 2023 terakhir disertai, janji bekerja keras memenangkan calon ‘Perpaduan’

Admin
CHOW Kon Yeow (berbaju putih) menyantuni para penyokongnya di perkarangan luar Pusat Penamaan Calon dekat Dewan Sri Pinang, sesuai disahkan sebagai calon Perpaduan bagi DUN Padang Kota di sini pada 29 Julai 2023.

GEORGE TOWN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri, Chow Kon Yeow berkata bahawa beliau akan bekerja keras bagi memastikan ‘Calon Perpaduan’ menang dengan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, sungguhpun menyifatkan ia mungkin yang terakhir untuk beliau menawarkan diri bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kon Yeow berkata demikian seusai disahkan sebagai Calon PH bagi N26 Padang Kota dekat Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Pinang sebentar tadi.

“Pada tahun 2008 juga, saya menang di kerusi (DUN) Padang Kota serta memenangi Pulau Pinang, dan sehingga kini genap tiga penggal sebagai Kerajaan Negeri.

“Walaupun ini penggal yang terakhir, saya masih menganggap ia suatu pilihan raya yang perlu kita memberi perhatian yang bersungguh-sungguh serta bekerja keras bukan di kawasan ini (Padang Kota) sahaja, tetapi memastikan semua calon PH dan Perpaduan dapat mencapai kemenangan bagi mencapai sasaran (majoriti dua pertiga) tadi,” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri di sini pada 29 Julai 2023.

Di samping itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Teh Lai Heng dan Wong Yuee Harng yang masing-masing disahkan bertanding bagi kerusi N28 Komtar dan N27 Pengkalan Kota.

“Saya ucapkan penghargaan kepada pegawai pilihan raya bagi ketiga-tiga bahagian iaitu Padang Kota, Komtar dan Pengkalan Kota yang mana proses (penamaan calon) adalah licin.

“Maka, dengan ini, terbukalah secara rasmi kempen PRN Pulau Pinang,” ujarnya.

Buletin Mutiara difahamkan Kon Yeow memulakan karier politik sejak tahun 1986, selepas menjadi Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP pada waktu itu.

Selama menyertai lapan kali pilihan raya umum sejak tahun 1990, beliau tewas sekali sahaja semasa bertanding di DUN Pengkalan Kota pada 1995.

Semasa Pilihan Raya Umum (PRU12), 8 Mac 2008, Kon Yeow memenangi kerusi Parlimen Tanjong dan DUN Padang Kota.

Semasa itu, Pakatan Rakyat (kini dikenali sebagai PH) berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri baharu, dan Kon Yeow ditaklifkan sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir.

Kon Yeow ditaklifkan sebagai Ketua Menteri selepas PH berjaya memerintahkan mandat rakyat pada PRU15 lepas, 19 November 2022.

Menjawab soalan pemberita, beliau sekali lagi menyatakan bahawa proses peralihan jentera dan sumber peringkat parti rata-rata berjalan lancar sungguhpun terdapat perubahan calon yang ketara dari pihak PH.

“Walaupun ada pertukaran calon pada minggu ini, maka peralihan (jentera dan sumber) berjalan dengan lancar sampai ada (bekas) wakil rakyat yang tidak dinamakan menjadi pencadang kepada calon yang baharu.

“Cuma ada dua kes yang mana berlakunya ahli DAP bertanding secara bebas, dengan tindakan ini yang ketara dan sahihnya, mereka tidak lagi menjadi ahli DAP kerana bertanding sebagai calon bebas (tanpa) restu parti (DAP) dan PH.

“Kita (Jentera Perpaduan) akan kempen sehabis-habisnya untuk mencapai kemenangan,” tegasnya lagi sambil menyeru seluruh keahlian dan penyokong membantu kemenangan kesemua 40 calon Perpaduan di negeri ini.