KEBUN BUNGA – Ribuan membanjiri sepanjang Jalan Utama ke Jalan Lebun Bunga di sini bagi sambutan perayaan Thaipusam.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow diiringi Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta beberapa wakil rakyat lain turut meraikan sambutan berkenaan.
Ketika berucap, Kon Yeow berharap penganut Hindu di negeri ini saling berganding bahu dengan kaum-kaum lain serta mengambil bahagian dalam agenda pembangunan negeri.
“Kaum India di Pulau Pinang harus turut sama melibatkan diri dalam merealisasikan Visi Penang2030,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong di perkarangan Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani di sini pada 8 Februari 2020.
Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut mengumumkan peruntukan Kerajaan Negeri sejumlah RM200,000 kepada Kuil Arulmigu Balathandayuthapani Devasthanam atau Waterfall Hilltop Temple untuk membantu melancarkan penganjuran perayaan Thaipusam pada kali ini.
Dalam pada itu, Ramasamy yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) memberitahu bahawa perayaan kali ini adalah istimewa kerana melibatkan perarakan dua pedati, Pedati Emas dan Pedati Perak.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir pula memuji suasana keharmonian yang ditonjolkan di sepanjang perayaan Thaipusam di negeri ini.
Kemudian, Kon Yeow turut menyempurnakan acara pelancaran aplikasi pintar kuil pertama di Kuil Ayoravaisyar Sri Meenakshi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wei; Pesuruhjaya HEB, Datuk A. Thanasekaran dan Pengerusi Kuil Arulmigu Balathandayuthapani Devasthanam, Datuk R. Subramaniam turut sertai majlis di sini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALAA THIAN
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI