Kon Yeow harap Dr. Joohari jadi ADUN, bantu sesi libat urus peringkat setempat

Admin
686fca63 7cbc 4e36 b0d9 fbe9bf745d9d KETUA Menteri (berdiri, tengah) dengan diiringi Zairil Khir Johari (berdiri, kanan) saling menyantuni calon PH, Dr. Joohari Ariffin sebelum menyampaikan ceramah politik sempena kempen PRK Sungai Bakap di Sungai Duri pada 26 Jun 2024.

SUNGAI BAKAP – Sesi libat urus yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan penglibatan pelbagai pemegang taruh dalam kalangan penduduk tempatan dan agensi-agensi negeri lebih mudah dilaksanakan sekiranya calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap, 6 Julai nanti.

d2300b56 10fa 4a2c 8cbb 966c4eb3bcd0
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata demikian semasa menyampaikan pidato umum di Sungai Duri di sini pada 26 Jun 2024.

“Sebagai Ketua Menteri, saya memberi jaminan kepada Dr Joohari, rakyat serta pengundi Sungai Bakap bahawa Kerajaan Negeri dan jentera negeri akan memberi sokongan sepenuhnya apabila Dr. Joohari diangkat sebagai ADUN Sungai Bakap.

“Saya bercadang mewujudkan suatu ‘forum Sungai Bakap’ dengan Dr Joohari sebagai ADUN nanti untuk menjemput pada pemegang taruh dari segenap lapisan masyarakat dan mukim di Sungai Bakap untuk menyambung perkara-perkara yang kita usahakan semasa kempen ini,” jelasnya.

8d124149 033a 4f98 b124 d91ecc71acc2
DR. Joohari Ariffin

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri hari ini yang telah memasuki penggal keempat pentadbiran akan terus berikhtiar meningkatkan projek infrastruktur awam mengikut kehendak rakyat setempat.

Turut berucap, Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri, Zairil Khir Johari; anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Dato’ Seri Ahmad Maslan dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Naib Presiden DAP Kebangsaan bersama-sama pasukan kempennya meluangkan masa menyertai program mesra rakyat di warung Old Farm di sini.

Pada 23 Jun lepas, Kon Yeow dalam dalam satu kenyataan berkata pentadbirannya akan memberi sokongan penuh kepada syor pembangunan lokal yang diutarakan jika Dr. Joohari memenangi PRK Sungai Bakap.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR