Kon Yeow harap hubungan Indonesia – Pulau Pinang terus majukan ekonomi dua pihak

Admin

GEORGE TOWN – Konsul Jeneral Indonesia ke Pulau Pinang, Bambang Suharto mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebelum menamatkan perkhidmatannya pada 31 Julai 2023.

 

Difahamkan, Bambang Suharto telah melengkapkan tempoh perkhidmatan beliau di sini selama tiga tahun empat bulan pada tarikh tersebut sebelum bakal berangkat ke Jakarta, Indonesia.

 

 

Pada pertemuan itu, Kon Yeow menyifatkan bahawa tempoh perkhidmatan Bambang Suharto berlalu dengan amat pantas dan pada suatu tempoh yang amat mencabar.

 

 

“Namun, Bapak (Bambang Suharto) sedaya upaya mewakili kepimpinan Indonesia dan rakyatnya melangsungkan banyak aktiviti khususnya perdagangan, budaya dan lain-lain aktiviti berkaitan.

 

 

“Saya berharap hubungan dua hala antara dua negara serta negeri, khususnya Indonesia dan Pulau Pinang terus erat melalui  kerjasama IMTGT (Indonesia Malaysia Thailand Golden Triangle) untuk memajukan ekonomi serantau.

 

 

“Selain itu, beberapa tahun kebelakangan ini juga tiada isu-isu serius melibatkan kedua-dua buah negara serta negeri, dan ini merupakan satu perkembangan yang baik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

Bambang Suharto dalam pada itu turut senada dengan Kon Yeow mengenai hubungan dua hala melibatkan aspek ekonomi.

 

 

Sepanjang tempoh perkhidmatan di Pulau Pinang, beliau menyifatkan bahawa Kerajaan Negeri banyak membantunya menjalankan tugas dengan baik.

 

 

Hadir sama, Menteri Kaunselor Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Kiki Tjahjo Kusprobowo dan Konsul Pensosbud, Andri Djufri Said.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD