BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi meluangkan masa melawat penganjuran Karnival Jom Heboh Pulau Pinang 2023 yang berlangsung di kawasan lapang parkir Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan di sini.
Sungguhpun bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kian dirasai semua, Ahli Parlimen Batu Kawan berkenaan berkata bahawa pihaknya berharap rakyat negeri ini khususnya penduduk setempat dapat meluangkan masa menyertai karnival tersebut yang berlangsung mulai hari ini hingga 30 Julai 2023.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih keada penganjur karnival ini iaitu Media Prina Berhad bersama-sama rakan penaja terutama syarikat Babas kerana memilih negeri Pulau Pinang sebagai lokasi bagi siri jelajah karnival ini.
“Bukan senang untuk menganjurkan karnival Jom Heboh seumpama ini, justeru jemput rakyat Pulau Pinang dan kawan-kawan sekitar Utara (Semenanjung Malaysia) untuk turut beramai-ramai ke perkarangan Stadium (Negeri Pulau Pinang), Batu Kawan,” jelasnya dalam sidang media berkaitan pada 28 Julai 2023.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga ‘Caretaker’ Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa penganjuran karnival dengan penglibatan kira-kira 150 pemamer dalam kalangan agensi kerajaan dan pengusaha produk komersial sepanjang tiga hari sekali gus dapat mewujudkan pengganda ekonomi di negeri Pulau Pinang khususnya kawasan Parlimen Batu Kawan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berharap penganjuran karnival tersebut sekali gus menyumbang kepada usaha menyemarak semangat perpaduan rakyat majmuk di Pulau Pinang.
“Saya berharap karnival seumpama ini dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk serta memupuk kestabilan (politik dan ekonomi) negara terutama di negeri Pulau Pinang,” ujarnya.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik turut menyertai Kon Yeow melawat gerai-gerai pameran di sini.
Buletin Mutiara difahamkan, Karnival Jom Heboh pada hari ini meriah dengan pertandingan kostum kanak-kanak, sementara pada Sabtu dan Ahad pula penganjuran pertandingan boria, yang mana menawarkan hadiah sehingga RM8,000 kepada pemenang utama.
Pada malam Sabtu (29 Julai 2023), akan berlangsungnya konsert dengan menampilkan Budak Nakal Hujung Simpang, Zamani, Zynakal, Naqiu, Sarah Suhairi, Nabila Razali, dan Puteri Khareeza.
Pada malam Ahad (30 Julai 2023) pula, konsert diteruskan dengan persembahan mantap daripada Aepul Roza, Insomniacks, Usop, Marsha Milan, Siti Nordiana, Bunga, Killa Driz, dan Rahmad Mega.
Pesanan penganjur, layari laman sesawang www.jomheboh.com.my dan ikuti laman sosial rasmi di Facebook dan Instagram di @jomhebohofficial untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN