SUNGAI ACHEH – Sungguhpun dihambat dengan jadual yang padat pada hari keenam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, petang tadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri, Tuan Chow Kon Yeow bersama-sama menyertai jerayawara di Sungai Udang dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh.
Kon Yeow berkata bahawa pihaknya mempunyai tanggungjawab besar termasuk membantu kempen memenangkan enam calon Barisan Nasional (BN) demi memastikan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang dapat ditubuhkan dengan majoriti dua pertiga majoriti selepas PRN ini.
Justeru, beliau berharap semua keahlian dan penyokong tradisi PH dan BN saling memberi undi sokongan kepada calon Perpaduan, Haji Rashidi Zinol yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh.
“Saya percaya tidak ada parti politik yang melaungkan ia berjuang untuk rakyat, mahu pecah belah dalam kalangan rakyat jelata.
“Apapun falsafah parti politik kita adalah untuk menyatupadukan rakyat, untuk kesejahteraan rakyat, itulah yang cuba dilakukan di bawah ‘payung’ Perpaduan ini yang mana saya berasa ini merupakan kewajipan buat saya bagi memastikan mesej ‘Perpaduan’ sampai ke setiap KADUN.
“(Oleh itu,) kita berharap undi daripada (penyokong PH) dapat diberikan kepada calon BN,” jelasnya dalam sidang media berkaitan sebelum menyertai jerayawara Jentera Perpaduan Sungai Acheh di sini pada 3 Ogos 2023.
Atas semangat ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau berharap BN juga dapat menggembleng ahli parti dan para penyokong tradisi mereka untuk memberi undi kepada kesemua calon Perpaduan yang bertanding atas tiket PH sempena PRN ini.
“Samalah kepada Barisan Nasional (BN) supaya dapat memberi sokongan kepada calon-calon Perpaduan yang bertanding (atas tiket PH) di kawasan DUN yang Barisan Nasional (BN) tidak bertanding,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Sebelum itu, Kon Yeow memuji semangat Perpaduan yang dicapai oleh barisan pemimpin nasional yang melibatkan kedua-dua blok PH dan BN demi menghadapi enam PRN termasuk Pulau Pinang.
Kini, menurut beliau, menjadi cabaran kepada segenap pemimpin dan jentera PH dan BN peringkat negeri untuk membawa mesej ‘Perpaduan’ yang sama ke peringkat akar umbi dalam tempoh lapan hari berbaki sebelum Hari Pembuangan Undi pada 12 Ogos ini.
“Ini, merupakan pengalaman yang baru yang mana Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Barisan Nasional (bagi mempertahankan mandat menubuhkan Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang ini).
“Senang bagi kita mencapai persetujuan peringkat pemimpin atasan, tetapi ia perlu diterjemahkan dalam bentuk kerjasama pada peringkat lapangan (dengan penglibatan) jentera Perpaduan iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN),” ulasnya.
Bercakap dalam sidang media bersama, Haji Rashidi merakamkan penghargaan kepada pasukan kempen yang diketuai Kon Yeow sendiri ke DUN Sungai Acheh pada petang ini.
Mewakili BN Pulau Pinang, beliau memberitahu bahawa pihaknya berharap kerjasama dengan PH atas semangat Kerajaan Perpaduan Malaysia dapat terus dipelihara bagi memakmurkan pembangunan negeri serta ekonomi rakyat.
“Saya berasa bangga dan berbesar hati dengan kehadiran (calon) Ketua Menteri terutamanya… saya akan berusaha gigih bagi pihak Barisan Nasional (BN) untuk menjana kemenangan ‘Perpaduan’ di negeri ini.
“Terima kasih kepada (jentera) PH kerana membantu begitu kuat bagi memastikan kemenangan semua wakil BN termasuk saya di KADUN Sungai Acheh ini.
“Saya adalah calon Barisan Nasional berkeyakinan dengan semangat perpaduan ini, cuma kami perlu bekerja kuat untuk meyakinkan pengundi dalam kalangan Melayu terhadap semangat ‘Perpaduan’ ini.
“Barisan Nasional (BN) telah bergerak sebulan lebih awal (sebelum Hari Penamaan Calon PRN Pulau Pinang), dan kita yakin boleh membawa sokongan pengundi Melayu sehingga 60 peratus (kepada calon-calon Perpaduan),” ulasnya yang juga Ketua Umno Bahagian Nibong Tebal.
Bertanding atas tiket BN dengan moto kempen ‘Orang Kampung Kita’, Haji Rashidi menyatakan bahawa beliau merupakan anak jati tempatan dan menetap di KADUN Sungai Acheh serta bersedia untuk berkhidmat kepada orang tempatan jika dipilih sebagai ADUN kelak.