Kon Yeow harap mahasiswa kongsi input untuk sediakan Pelan Pembangunan Belia 2030

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap mahasiswa kelahiran Pulau Pinang dapat berkongsi pendapat mengenai cadangan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Penang2030 iaitu pelan pembangunan masa depan dalam tempoh 11 tahun sehingga 2030.

Menurut beliau, pentadbirannya komited menyediakan persekitaran yang lebih baik kepada mahasiswa demi menggilap bakat serta potensi mereka.

Justeru, Kon Yeow berharap mahasiswa dapat memberi input kepada Kerajaan Negeri hari ini dalam menyediakan Pelan Pembangunan Belia 2030.

“Ketika kita menghampiri tahun 2020, Pulau Pinang telah mula menerajui perancangan pembangunan belia untuk 2030.

“Justeru, penglibatan saudara-saudari pada hari ini adalah sangat penting dalam berkongsi ‘input’ dengan Kerajaan Negeri,” jelasnya ketika menyampaikan ucaptama dalam Majlis Persidangan Mahasiswa Pulau Pinang 2019 di Hotel Jen, Komtar pada 26 Januari 2019.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee.

Kon Yeow memberitahu, mahasiswa hari ini sebenarnya mendepani dua cabaran utama, salah satu adalah menyediakan diri sebagai tenaga pekerja dalam era teknologi tengah pesat berkembang.

Satu lagi cabaran, menurutnya, adalah persiapan mahasiswa dalam mendepani perubahan politik, termasuk selepas had mengundi diturunkan pada usia 18 tahun.

“Lihat bagaimana ‘Internet of Thing’ dan Revolusi Industri 4.0 sedang mengubah dunia, terdapat banyak pekerjaan yang tidak lagi memerlukan tenaga manusia, hanya dengan integrasi komputer yang lebih cekap serta canggih.

“Namun, pada masa sama, perkembangan ini mewujudkan peluang dalam bidang kerjaya yang lain pula.

Kini, Malaysia sedang melalui proses pendemokrasian… kerajaan berhasrat untuk menurunkan had umur kepada 18 tahun.

“Ertinya, adalah menjadi tanggungjawab saudara dan saudari untuk mempersiap-siagakan adik-adik kita di sekolah menengah sekarang dengan tanggungjawab ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dan Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING