PERAI – Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Chow Kon Yeow berharap agar pengundi-pengundi di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai kekal memilih Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Beliau berkata, kemenangan calon DAP di Perai amat penting dalam usaha Pakatan Harapan untuk membentuk Kerajaan Negeri yang kukuh dan stabil sekali lagi.
“Pakatan Harapan mempertaruhkan calon baru daripada DAP iaitu Dato’ Seri S. Sundarajoo bagi kawasan Perai.
“Jadi, kita menyeru agar pengundi-pengundi di Perai memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan untuk membolehkan Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan walkabout di Pasar Awam Chai Leng Park di sini sebentar tadi.
Selain Sundarajoo, turut serta ialah mantan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.
Mengulas mengenai keputusan P. David Marshel yang turut bertanding sebagai calon bebas bagi kawasan Perai, Kon Yeow berkata bahawa bekas ahli DAP itu bebas untuk berkempen menggunakan apa sahaja isu selagi tidak melanggar peraturan pilihan raya.
“David merupakan ahli DAP yang aktif di kawasan Perai sebelum ini tetapi keputusan beliau bertanding atas kapasiti calon bebas sudah jelas melanggar peraturan parti, malah beliau sendiri sudahpun meletakkan jawatan.
“Walaupun beliau masih menyuarakan sokongan kepada saya tetapi perkara itu sudah menjadi sejarah dan pendirian kita adalah untuk menyokong calon Pakatan Harapan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Terdahulu, Kon Yeow bersama-sama Sundarajoo dan jentera Pakatan Harapan menyantuni para peniaga dan pengunjung di sekitar Pasar Awam Chai Leng Park.