SEBERANG JAYA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berharap agar peratusan keluar mengundi di Pulau Pinang mampu mencapai lebih 70 peratus pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Beliau berkata, peratusan keluar mengundi melebihi 70 peratus adalah penting untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini.
“Saya merasakan bahawa kadar peratusan keluar mengundi paling minimum pun boleh mencapai 70 peratus tetapi tidak boleh di bawah paras itu.
“Sejak enam bulan lalu lagi kita sudah uar-uarkan kepada umum berkenaan bilakah Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan, jadi sekarang bergantung kepada pengundi untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
“Sekiranya ada pengundi yang enggan keluar mengundi, itu mungkin disebabkan oleh rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap senario politik semasa.
“Sebab itulah dalam setiap lawatan dan ceramah, kita dengan tegas menyeru supaya pengundi-pengundi keluar mengundi untuk memilih calon masing-masing,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan program ‘walkabout’ di Pasar Malam Seberang Jaya dekat Jalan Tenggiri di sini sebentar tadi.
Turut serta, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Johari Kassim dan calon ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang berkata bahawa PH dan BN menggunakan pelbagai kaedah untuk mempergiatkan lagi kempen bagi mengenal pasti sasaran pengundi yang perlu dikerah untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.
“Dalam PH dan BN memang ada kaedah berlainan dari segi gerak kerja kempen selain kita menjalankan kempen secara bersama-sama di bawah payung Perpaduan.
“Bagi DAP, kita menekan publisiti secara besar-besaran dengan mengadakan walkabout di tempat-tempat awam tetapi rakan-rakan kita yang lain mungkin mempunyai kaedah yang berlainan,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan bahawa pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 9.7 juta pengundi yang layak akan keluar mengundi pada PRN di enam negeri yang terlibat.