Kon Yeow harap perjanjian lanjut PDP babit SRS Consortium dimuktamadkan Jan. 2020

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan memuktamadkan kaedah pembiayaan bagi projek Pakej 1 Pan Island Link 1 (PIL 1) dan Pakej 1 transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas terlebih dahulu, sebelum memuktamadkan perjanjian PDP pada tahap seterusnya dengan melibatkan SRS Consortium.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa SRS Concortium telah dipilih sebagai Project Delivery Partner (PDP) sebelum ini dengan melibatkan cadangan pelaksana PSR, tapi kerja-kerja penambakan laut bagi membiayai kos projek-projek seperti PIL1 dan LRT 1 masih belum bermula lagi.

Justeru, beliau berharap perjanjian lanjut PDP itu dapat dimuktamadkan bulan Januari tahun hadapan.

“Kerajaan Negeri dan SRS Consortium akan memuktamadkan perjanjian selanjutnya bagi PDP, moga-moga perjanjian (selanjutnya) boleh ditandatangani pada bulan Januari (2020).

“(Bentuk) pembiayaan projek ini juga akan dimuktamadkan dalam tempoh ini, bergantung kepada bentuk persiapan kewangan untuk projek yang mana wajar dilaksanakan terlebih dahulu,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media di Komtar pada 6 Disember 2019.

Kon Yeow berkata demikian sebagai respons kepada laporan berita atas talian The Edge semalam (6 Disember 2019) yang berjudul Gamuda expects to sign Penang Transport Master Plan PDP agreement in ‘next few weeks’, says MD.

Difahamkan, Gamuda Berhad merupakan salah satu entiti dalam SRS Concortium atau PDP, selain dua entiti korporat lain iaitu Loh Phoy Yen Holdings Sdn. Bhd. dan Ideal Property Development Sdn. Bhd..

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video: AHMAD ADIL MUHAMAD