Kon Yeow hargai sokongan NGO Muslim, komited bawa pembangunan berterusan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow menghargai sokongan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Muslim sekitar Parlimen Tanjong yang menyatakan sokongan terhadap beliau sebagai calon Ketua Menteri bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada 12 Ogos ini.

 


Atas sokongan itu, Kon Yeow komited bahawa sekiranya diberi mandat sekali lagi, Kerajaan Negeri pimpinannya akan membawa Pulau Pinang ke satu tahap pembangunan yang lebih baik.

 

“Kami (Kerajaan Negeri) akan berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi terutamanya pada aspek sosioekonomi dan juga pembangunan supaya ia selari dengan rancangan Kerajaan Persekutuan sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri maju serta berjaya dalam arus pembangunan negara.

 

 

“Andai kata diberikan mandat seterusnya maka kita akan meneruskan kerja-kerja yang penting untuk membawa rakyat dan negeri Pulau Pinang ke satu tahap pembangunan yang lebih baik selaras dengan gagasan Visi Penang2030 menjelang penggal yang seterusnya.

 

 

“Malah, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Liga Muslim dan pertubuhan India Muslim di sini atas inisiatif mencadangkan satu sidang media bagi menunjukkan sokongan terhadap saya,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Tokoh Maal Hijrah dan Pelancaran ‘Enclave’ Warisan Kaum Kadayanallur serta Tenkasi dekat Jalan Kedah di sini petang tadi.

 

 

Hadir sama, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Rosli Nor; Presiden Central Muslim Society (CMS) merangkap Presiden Persatuan Hidayatul Islam, Hassan Othman; Pengerusi Penganjur merangkap Presiden Anjuman Himayathul Islam, Datuk Abdul Kadir Haja Mydin dan Pengerusi-pengerusi NGO Muslim terlibat.

 

 

Kon Yeow dalam pada itu turut menyambut baik Pertandingan Menggiling Rempah yang dianjurkan sebagai salah satu pendekatan pemuliharaan warisan masyarakat India Muslim di Pulau Pinang.

 

 

“Difahamkan, aktiviti menggiling rempah merupakan salah satu sumber mata pencarian bagi golongan wanita pada zaman dahulu yang mana ia menjadi kerjaya yang mendorong wanita-wanita zaman dahulu menceburi bidang keusahawan secara kecil-kecilan,” maklumnya yang juga mantan ADUN Padang Kota.

 

 

Mengulas mengenai enklaf, Kon Yeow berkata bahawa ia masih lagi relevan dan perlu terus melangkah ke hadapan dalam arus pembangunan warisan yang mana George Town merupakan antara destinasi tumpuan pelawat antarabangsa dan telah dikategorikan sebagai salah satu bandar yang bersih di dunia baru-baru ini.

 

 

Sebagai penutup majlis, Kon Yeow turut menyampaikan anugerah kepada Tokoh Maal Hijrah Persatuan Hidayathul Islam meliputi 17 penerima mengikut sumbangan dalam bidang masing-masing.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : M. VEKENESVARAN

Video : ALISSALA THIAN