Kon Yeow ke Line Clear, rai pengunjung dan kakitangan nasi kandar terkenal Pulau Pinang

GEORGE TOWN – “Line Clear!” Itu sorakan biasa kakitangan nasi kandar warisan terkenal Pulau Pinang ketika menyambut kunjungan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Jalan Penang lewat petang tadi di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng turut menyertai sesi santai itu bersama-sama beberapa kakitangan Pejabat Ketua Menteri yang lain.

Wakil pengusaha, Jumah Bee Kalandamastan, 46, memberitahu bahawa warung nasi kandar Line Clear dibuka sejak tahun 1930, dan kini dianggap sebagai salah satu ikon sektor pelancongan makanan antarabangsa terkenal di negeri ini.

“Restoran ini adalah usaha sama keluarga, tahun ini giliran emak saya, Phatumah binti Iskandar, 73, sebagai pengusaha.

“Seperti malam ini, sesak dengan pengunjung kerana musim cuti sekolah, mujur ada beberapa meja sengaja dikosongkan apabila mendapat tahu Y.A.B. Chow nak berkunjung ke sini.

“Ada macam-macam masakan tradisi orang Penang, antaranya kari kepala ikan, ikut saiz, sepinggan dalam RM60 hingga RM70 sahaja…ada juga masak udang dan lain-lain… selera asli Pulau Pinang.

“Jamuan pada petang ini dibuat sebagai merai Y.A.B. Chow sebagai Ketua Menteri; kedua, tanda penghargaan kami sendiri kerana beliau (Kon Yeow) sangat menyokong kewujudan Line Clear sebagai salah satu restoran makanan yang menjadi simbol George Town.

“Apa sahaja (makanan yang) Y.A.B. Chow pesan, kami akan sebut ‘Line Clear!’ tanda kami tak akan mengecewakan pelanggan-pelanggan setia kami terutama dalam kalangan rakyat Pulau Pinang yang datang makan di sini,” jelasnya selepas selesai majlis jamuan ringkas di sini.

Jumah Bee dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana sudi meluangkan masa berkunjung ke Line Clear, sungguhpun dihambat dek jadual kerja harian yang begitu padat.

Lanjutan itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada pengusaha Line Clear serta para kakitangan nasi kandar tersebut kerana mereka terus membantu usaha Kerajaan Negeri di bawah teraju Pakatan Harapan dalam mereputasi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan warisan terpilih di rantau ini.

Sebelum pulang, Kon Yeow turut meluangkan masa meramahi para kakitangan Line Clear serta berswafoto dengan para pengunjung di sana.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD