SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya komited memastikan kualiti hidup rakyat bertambah baik berlandaskan kempen ❤️PENANG dan gagasan Malaysia Madani.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Iftar Perdana ❤️PENANG di perkarangan luar Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dekat Bandar Baru Perda dekat sini pada 16 April 2023.
“Majlis (iftar perdana) pada hari ini mungkin sedikit istimewa kerana turut dimasukkan konsep ❤️PENANG yang menjadi platform penyatuan rakyat di negeri ini.
“Penganjuran majlis iftar sebegini sememangnya merupakan instrumen terbaik untuk menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Persekutuan merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.
“(Justeru,) adalah menjadi harapan kita di sini agar pendekatan-pendekatan (❤️PENANG dan Malaysia Madani) berkenaan dapat diterjemahkan dengan sebaik-baiknya khususnya dalam ikatan kerjasama negeri Pulau Pinang dengan Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Buletin Mutiara difahamkan, Kon Yeow melancarkan Kempen ❤️PENANG pada bulan Jun 2022 antara lain bertujuan untuk menyuntik semangat perpaduan dalam kalangan rakyat demi bangkit kembali selepas terjejas hidup dek pandemik COVID-19.
Sementara Malaysia Madani pula digagaskan oleh Perdana Menteri Ke-10 Malaysia, Y.A.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang terdiri daripada enam perkara sebagai landasan.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya akan memastikan prestasi perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat bertambah baik.
Ini, menurut beliau, termasuk perkhidmatan Kerajaan Negeri berkaitan pembangunan hal ehwal agama Islam yang mana pada tahun ini melibatkan kelulusan peruntukan sebanyak RM75.08 juta.
Berucap sebelum itu, Pegawai Daerah SPT, Kamarul Haizal Koderat turut merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana turut menyempurnakan acara pengedaran 240 helai apron kepada 120 peniaga bazar Ramadan di sini.
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Abdul Halim Hussain; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis tersebut.
Sebelum majlis berbuka puasa, Kon Yeow turut menyaksikan majlis penyerahan pek bantuan ❤️PENANG dan hamper sumbangan Zakat Pulau Pinang bernilai RM375 seorang kepada 50 asnaf terpilih.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI