Kon Yeow nekad realisasikan perancangan negeri sungguhpun sedar ada kekangan kewangan

Admin
cfaaeea2 7da0 4a21 8a94 793665948aaa KETUA Menteri (tiga dari kanan) dengan diiringi Lim Hui Ying (kanan sekali) menyampaikan sumbangan ‘duit raya’ kepada pelajar tahfiz dalam majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Iman Pulau Pinang di bangunan Dewan UMA di sini pada 29 Mac 2025.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan sedaya upaya merealisasikan segala perancangan mengikut keperluan rakyat, walaupun menyedari ada kekangan kewangan yang terpaksa dihadapi ketika ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Iman Pulau Pinang di Bangunan Dewan Persatuan Muslim (UMA) dekat sini pada 29 Mac 2025.

“Ramadan telah memberikan kesempatan kepada seluruh rakyat untuk menjalinkan hubungan persaudaraan dan memperkuat perpaduan, dan juga pentingnya mendengar sedikit sebanyak pandangan (serta) permintaan peruntukan untuk memperbaiki premis atau melaksanakan program-program yang akan dianjur oleh persatuan.

“Kami, dalam Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) dan Kerajaan Persekutuan dengan kekangan peruntukan yang ada, akan cuba memastikan sebahagian besar permohonan dapat dipenuhi supaya program yang dianjurkan dapat dilaksanakan.

“Maka, saya ingin menyatakan bahawa perjuangan ini akan berterusan, dan berharap persatuan-persatuan di kawasan ini juga dapat meneruskan perjuangan walaupun berlakunya perubahan dalam pimpinan, (kerana) matlamat perjuangan kesatuan akan diteruskan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan bahawa kepelbagaian aktiviti memperkasa komuniti yang dianjurkan oleh Persatuan Iman Pulau Pinang sebenarnya banyak membantu Kerajaan Negeri hari ini dalam merealisasikan Visi Penang2030.

“Saya berharap agar pihak persatuan akan terus mainkan peranan untuk masyarakat Islam di Pulau Pinang dengan melaksanakan lebih banyak program mahupun aktiviti dalam membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat baik dalam aspek pendidikan, kebajikan dan kesepaduan rakyat,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Beliau memuji pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut yang mana sepanjang tahun ini di bawah pimpinan Naib Presidennya, Dato’ Dr. Haji Anvar Hussain bin Haji Rahumathullah, ia dilihat begitu aktif, antaranya menganjur program-program bersifat keagamaan, kesejahteraan sosial.

“Contoh program kesejahteraan sosial yang telah dianjurkan oleh Persatuan Iman (Pulau Pinang) antaranya sumbangan bakul makanan yang telahpun dijalankan pada 26 Mac lalu, (di samping) program-program sukan dan pendidikan serta penganjuran program motivasi kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ulasnya sambil merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada sekalian umat Islam yang bakal menyambut perayaan tersebut pada 1 Syawal nanti.

Anvar Hussain yang juga Pengerusi Pengelola Majlis Iftar Ukhuwah IMAN turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying merangkap Timbalan Menteri Kewangan; Presiden Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Abdul Rafique Karim; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kadeer; Pengarah Urusan Subaidah Hoding Sdn. Bhd., Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dan Pengarah Urusan Sri Subham (M) Sdn. Bhd., R. P. Murugesan.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow turut menyaksikan barisan pemimpn Persatuan Iman Pulau Pinang menyampaikan sumbangan bantuan dan ‘duit raya’ kepada
10 pelajar tahfiz dan mereka yang kurang bernasib baik sempena menyambut hari raya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING