Kon Yeow pengerusikan mesyuarat Lembaga Perumahan Negeri pertama

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah bagi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang yang pertama diadakan di Komtar dekat sini pagi ini.

 

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu.

 

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), Bahagian Perumahan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ketua Penolong Setiausaha (Seksyen Dasar & Pembangunan), Fakhurrazi Ibnu Omar; Penolong Setiausaha Kanan (Seksyen Pengurusan Perumahan), Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff dan Penolong Setiausaha Kanan (Penguatkuasaan & Strata), Nadzifah Abd. Rahim.

 

Turut serta, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pembangunan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr. Mary Wong Lai Lin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perumahan Negara, Mas Rizal Mohd. Hilmi; Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia (JPPH), Sr. Aina Edayu Ahmad dan mantan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong.

 

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, Kon Yeow berharap dengan adanya Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, maka hal ehwal perumahan dan agenda berkaitan dapat diselaraskan dengan lebih teratur memandangkan isu perumahan masa kini mempunyai cabarannya tersendiri.

 

KETUA Menteri mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah bagi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang yang julung kali diadakan sejak penubuhannya, di Komtar pagi ini.

“Saya percaya ahli-ahli lembaga pengarah yang ada perlu membulatkan tekad untuk memajukan agenda perumahan agar lebih lestari termasuk mengadakan dasar yang baik dengan melibatkan bukan sahaja sektor awam, malah pihak swasta dan rakyat keseluruhannya,” ujarnya sebagai pembuka mesyuarat yang julung kali diadakan dalam sejarah hal ehwal perumahan negeri.

 

Dalam pada itu, Jagdeep berharap dengan penubuhan Lembaga Perumahan, maka isu-isu berhubung bekalan rumah mampu milik yang mencukupi kepada rakyat di negeri ini dapat diberi perhatian khusus.

 

“Isu-isu bekaitan bekalan perumahan ini boleh direalisasikan melalui Kerajaan Negeri ataupun kolaborasi dengan pihak swasta dengan memperkenalkan pelbagai insentif supaya matlamat menyediakan rumah kepada rakyat tercapai,” katanya.

 

Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang ditubuhkan di bawah Enakmen Lembaga Perumahan Pulau Pinang 2010 dan selaras dengan Seksyen 1(2) enakmen sama, Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Exco pada 8 Julai 2020 lalu telah menetapkan tarikh kuat kuasa enakmen ini adalah pada 1 Ogos 2020.

 

Malah, pada 11 April 2018, Ketua Setiausaha Negara telah meluluskan penubuhan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah Badan Berkanan Diasingkan Saraan dan Dibebaskan.

 

Difahamkan, sehingga hari ini terdapat 11 jawatankuasa di bawah Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang ini dan cadangan untuk menambah bilangan jawatankuasa akan diputuskan dalam mesyuarat kelak.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN